LONDON: Polis Britain mengesahkan insiden rempuhan di pusat bandar Liverpool disifatkan sebagai kejadian terpencil dan tiada kaitan dengan keganasan.
Penolong Ketua Polis Merseyside, Jenny Sims menyifatkan insiden itu sebagai ‘mengerikan’ dan menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang cedera.
Kejadian berlaku di Water Street, tempat penyokong berkumpul untuk meraikan kejayaan Liverpool FC merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Beliau berkata, 27 orang dirawat di hospital sekitar Liverpool, dengan dua mangsa mengalami kecederaan serius termasuk seorang kanak-kanak.
Susulan itu, seorang lelaki warga Britain berusia 53 tahun ditahan ekoran insiden tersebut.
Ketua pegawai bomba, Nick Searle berkata, empat individu termasuk seorang kanak-kanak, tersepit di bawah kenderaan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Keir Starmer menyifatkan insiden tersebut sebagai mengerikan.
Dalam perkongsian di platform X, beliau melahirkan simpati terhadap semua mangsa cedera dan terlibat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada polis dan perkhidmatan kecemasan atas respons pantas dan berterusan mereka terhadap kejadian yang mengejutkan ini.
“Saya sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan semasa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat,” katanya.- AGENSI










