PUTRAJAYA: Satu rangkaian sindiket pemalsuan dokumen pengesahan kelahiran yang melanggar peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) telah ditumpas.
Ia hasil daripada operasi serentak antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi khas dikenali sebagai Op Tumpang itu dilakukan di Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Perak pada 11 Februari lalu.
Katanya, sebanyak 80 sijil kelahiran palsu yang didaftarkan oleh sindiket itu turut dirampas.
Saifuddin berkata, 10 warga tempatan telah ditahan dalam operasi itu masing-masing lapan lelaki dan dua wanita dimana empat daripadanya pengamal undang-undang yang bertindak sebagai ejen dan pemohon.
“Empat pengamal undang-undang itu dikatakan dalang utama sindiket pemalsuan dokumen ini, manakala enam lagi berperanan sebagai pemaklum kelahiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, ketika serbuan, JPN telah merampas wang tunai berjumlah RM54,000 dipercayai hasil daripada aktiviti haram tersebut.
Saifuddin berkata, JPN tidak menolak kemungkinan bahawa ada tangkapan akan menyusul seiring dengan perkembangan siasatan.
Menurutnya, risikan terhadap kes ini telah berjalan sejak lebih setahun lalu dan siasatan mendapati sindiket ini telah memalsukan dokumen kelahiran sehingga menyerupai pengesahan rasmi daripada fasiliti kesihatan swasta yang berdaftar.
“Dokumen ini kemudiannya digunakan untuk memperdaya pihak JPN bagi tujuan pendaftaran kelahiran.
“Kebanyakan sijil kelahiran yang didaftarkan sindiket ini adalah pendaftaran lewat iaitu melebihi 60 hari tempoh pendaftaran kelahiran yang ditetapkan oleh JPN,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, modus operandi sindiket ialah dengan melibatkan individu yang bertindak sebagai pemaklum kelahiran dengan mengemukakan dokumen kelahiran palsu di kaunter JPN semasa pendaftaran.
“Setelah sijil kelahiran yang sah diperoleh, ia dipercayai akan dijual di pasaran gelap kepada ibu bapa atau penjaga yang mempunya anak jagaan yang tidak mempunyai pengenalan diri dan kewarganegaraan Malaysia.
“Sindiket ini juga dipercayai mempunyai rangkaian dalam dan luar negara serta berkemungkinan besar terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang tidak mempunyai dokumen diri dan dijual kepada ibu bapa berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, SPRM telah menahan 16 individu kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu. – UTUSAN










