GUA MUSANG: Hampir 400 penduduk Orang Asli dari tiga buah kampung di Pos Balar di sini, terputus hubungan selepas jambatan besi yang menjadi nadi utama untuk ke bandar Gua Musang runtuh dibadai arus deras Sungai Balar, susulan hujan berterusan sejak petang kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata, situasi itu menyebabkan penduduk tidak dapat menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, semalam.
“Menurut cerita penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Balar, air mula melimpahi jambatan ini kira-kira pukul 2 pagi dan pagi semalam kami lihat jambatan sudah runtuh.
“Jambatan terbabit dipercayai terputus kerana paras air yang tinggi dan deras susulan hujan yang berterusan,” katanya di sini semalam.
Hanan berkata, jambatan besi itu turut digunakan oleh guru yang berulang-alik menggunakan motosikal untuk mengajar di SK Balar.
Katanya, kejadian itu disifatkan lebih buruk berbanding 2014 dan penduduk kini sentiasa berjaga-jaga sekiranya paras air semakin meningkat.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun berkata, pihaknya sudah menerima aduan berkaitan kejadian terbabit daripada penduduk kampung.
Katanya, pihanya akan membuat siasatan tentang kerosakan yang berlaku sebelum memohon peruntukan untuk membina jambatan baharu. – UTUSAN










