DAMSYIK: Kerajaan Syria mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 400 peratus bermula bulan depan.
Ia adalah sebahagian daripada langkah awal untuk menstabilkan ekonomi negara selepas 13 tahun berdepan perang saudara dan sekatan antarabangsa.
Menteri Kewangan Syria, Mohammed Abazeed berkata, kenaikan itu akan melibatkan kos sebanyak AS$127 juta (RM573 juta) dan akan dibiayai melalui sumber sedia ada, bantuan serantau, pelaburan baharu serta usaha mencairkan aset Syria yang dibeku di luar negara.
“(Ini adalah) langkah pertama ke arah penyelesaian kecemasan terhadap realiti ekonomi negara,” kata Abazeed dalam satu temu bual dengan Reuters.
Beliau berkata, gaji bulan Januari untuk kakitangan awam akan dibayar dalam minggu ini.
Kenaikan gaji itu adalah sebahagian daripada strategi kerajaan sementara baharu Syria untuk menstruktur semula pentadbiran kementerian, dengan matlamat meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti.
Sebelum ini, di bawah pemerintahan bekas Presiden Bashar al-Assad, gaji bulanan penjawat awam hanya sekitar AS$25 (RM112.90), meletakkan mereka di bawah paras kemiskinan, bersama majoriti penduduk lain di Syria, katanya.
Kenaikan gaji tersebut akan dilaksanakan selepas penilaian menyeluruh terhadap kira-kira 1.3 juta penjawat awam berdaftar, bagi menyingkirkan kakitangan ‘hantu’ dan menumpukan kepada pekerja yang memiliki kepakaran, kelayakan akademik serta kemahiran diperlukan pembinaan semula negara.
Selain itu, dalam usaha untuk meringankan beban rakyat, kerajaan Syria mempertimbang pengecualian penalti dan faedah kepada pembayar cukai, selain bercadang merombak sistem percukaian dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Kami menjangka draf pertama sistem percukaian baharu ini dapat disediakan dalam tempoh empat bulan,” kata Abazeed
Katanya, sistem cukai tersebut akan mengambil kira kepentingan semua pembayar cukai, yang dijangka boleh dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.– AGENSI










