TEL AVIV: Tentera Israel melaporkan peningkatan kes bunuh diri dalam kalangan anggota mereka sejak bermulanya serangan ketenteraan terhadap Gaza.
Times of Israel melaporkan, 38 tentera disyaki membunuh diri sejak dua tahun lalu, dengan 28 kes berlaku selepas insiden Oktober 2023, berbanding 14 kes dicatatkan 2022 dan 11 kes pada 2021.
Operasi Israel di Gaza juga menyebabkan lonjakan ketara dalam jumlah kematian keseluruhan tentera, menjadikan 2023 dan 2024 sebagai tahun paling maut bagi askar rejim dalam beberapa dekad.
Pada 2023, seramai 558 tentera Israel terkorban, termasuk 512 dalam aktiviti ketenteraan, menurut data.
Punca kematian lain pada 2023 termasuk kemalangan yang meragut 16 nyawa, dua dalam kejadian latihan, empat nahas kereta awam, lima kemalangan kenderaan tentera, satu akibat tembakan senjata yang tidak disengajakan dan empat berkaitan insiden lain.
10 lagi tentera dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit.
Di antara kes bunuh diri yang disyaki pada 2023, 17 kes sudah dikenal pasti, melibatkan tujuh kerahan tentera, empat anggota tetap dan enam lagi askar simpanan.
Tentera melaporkan, walaupun jumlah kematian anggota menurun pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, kes bunuh diri disyaki meningkat ketara.
Menurut data tentera, 21 tentera disyaki membunuh diri pada 2024, termasuk tujuh tentera kerahan, dua anggota tetap dan 12 askar simpanan.
Kesemua 38 kes bunuh diri yang direkodkan pada 2023 dan 2024 melibatkan anggota lelaki.
Krisis bunuh diri di seluruh Israel bukan hanya melibatkan anggota tentera, malah lebih 500 kematian dicatatkan setiap tahun akibat perbuatan itu, selain lebih 6,000 percubaan bunuh diri.
Kementerian Kesihatan Israel mengakui kemungkinan 23 peratus data tersebut tidak dilaporkan, menunjukkan skala sebenar krisis itu mungkin lebih besar.
Walaupun terdapat bukti trauma psikologi serius dalam kalangan tentera Israel akibat genosid di Gaza, tinjauan terbaharu menunjukkan hanya enam peratus rakyat Israel percaya operasi di wilayah itu perlu dihentikan.– AGENSI










