LIPIS: Aspek pembangunan sosioekonomi dan projek berimpak tinggi terutama jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menghubungkan Kelantan dan Pahang akan diberi tumpuan di kawasan ini pada tahun ini.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, apabila pembinaan LTU direalisasikan, ramai pelabur dijangka datang dan membina kilang di sini.
“Pembinaan laluan LTU dapat memendekkan jarak perjalanan iaitu satu jam 30 minit sahaja dari Lipis untuk sampai ke Kuala Lumpur.
“Selain itu, projek mega kilang peluru di Kampung Kechau Tui, Padang Tengku yang bernilai lebih RM1 bilion memberi manfaat kepada penduduk setempat dan difahamkan Kerajaan Negeri Pahang sudah pun bersetuju menawarkan 20 hektar tanah lagi bagi fasa dua pembinaan kilang jentera berat dan alatan perang.
“Diharap menerusi projek yang akan dibangunkan ini akan mengubah landskap sosioekonomi dan membawa limpahan pendapatan khususnya kepada penduduk di daerah Lipis,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, pembangunan infrastruktur dan keperluan penduduk terutama melibatkan sistem bekalan air di daerah ini turut menjadi tumpuan dan diharap dapat dilaksanakan tidak lama lagi.
“Kita sedia maklum Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KPLB) akan menaik taraf lori rawatan air (LRA) Mela baharu bernilai RM48 juta bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih yang sering berlaku dari Mela ke Kerambit dan projek ini akan ditender bila-bila masa sahaja.
“Peruntukan sebanyak RM35 juta bagi projek naik taraf lori rawatan air (LRA) Merapoh yang akan dilaksanakan juga dilihat mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN










