LIPIS: Kerajaan Pahang belum berhasrat untuk mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah sewenang-wenangnya di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya berpandangan adalah tidak adil mengenakan tindakan kepada mereka kerana. kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang sepatutnya termasuk hentian rawat dan rehat (R&R).
“Bagaimanapun, jika kemudahan sudah disediakan dan pengguna LTU tetap tidak patuh, mereka boleh kenakan tindakan mengikut undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai pengajaran.
“Tapi, ketika ini kita tidak sediakan kemudahan, jadi kalau ada anak-anak yang hendak terkencing sebab menempuh perjalanan yang jauh macam mana nak buat dan mereka tidak ada pilihan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Dalam majlis berkenaan, seramai 276 peserta Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, Jerkoh dan Peruang menerima RM700 setiap seorang membabitkan peruntukan RM275,800.
Wan Rosdy berkata, masalah sampah sarap yang sering memenuhi laluan LTU setiap kali musim perayaan itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu R&R siap yang akan mengambil sedikit masa.
Menurutnya, isu terbabit sudah dibangkitkan kepada. Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihaknya yakin ia dalam proses tindakan.
“Mungkin ada usaha dalam jangka masa pendek untuk menyelesaikan masalah ini termasuk kita akan minta pihak berkaitan untuk pantau perkara tersebut supaya boleh membantu perkara yang perlu,” tegasnya.
Beliau berkata, Majlis Daerah atau Pejabat Daerah boleh memikirkan bagaimana untuk mengatasi isu tersebut, mungkin tidak menyelesaikan tapi sekurang-kurangnya meminimumkan masalah yang ada.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, ketiadaan R&R tidak sepatutnya dijadikan ‘lesen’ pengguna berhenti di laluan itu untuk berehat dan berbuka puasa di pinggir jalan.
Bercakap kepada pemberita majlis pelancaran Ops Balik Kampung di LTU Pintasan Raub semalam, beliau berkata, kenderaan melalui laluan berkenaan hanya boleh berhenti di tepi jalan jika dalam keadaan kecemasan sahaja. – UTUSAN










