Gagal bayar cukai tanah: Semua pihak tidak terlepas tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Gagal bayar cukai tanah: Semua pihak tidak terlepas tindakan undang-undang

MOHAMAD ZAINI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Tiada mana-mana pihak termasuk entiti korporat akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya culas dan gagal melunaskan kewajipan cukai tanah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri.

​Tindakan tegas itu dibuktikan menerusi penguatkuasaan tanah oleh kerajaan negeri Pahang yang melucutkan hak milik 122 lot tanah di Berjaya Hills, Bukit Tinggi di sini pada 28 September lalu berikutan tunggakan cukai tanah mencecah RM70.48 juta sejak 2020.

Langkah berkenaan menyentuh beberapa kemudahan dan fasiliti utama di situ seperti kuarters pekerja, premis dobi, Rabbit Park, dan tarikan pelancongan Japanese Garden.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, langkah kerajaan Pahang itu tepat, adil dan berlandaskan kedaulatan undang-undang.

​”Tidak ada sesiapa yang berada di atas undang-undang. Semua pihak termasuk syarikat korporat dan pemilik premis perniagaan adalah tertakluk kepada prinsip dan undang-undang yang sama tanpa sebarang pengecualian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohamad Zaini yang juga Ahli Dewan Negara berkata, tindakan tegas pelucutan hak itu diambil demi mempertahankan hak dan hasil kerajaan negeri yang akan dipulangkan semula kepada rakyat menerusi pembangunan kemudahan awam dan infrastruktur tempatan.

​”Tunggakan cukai bernilai RM70.48 juta ini adalah jumlah yang besar. Hasil cukai tanah inilah yang sepatutnya dimanfaatkan semula untuk menyalurkan kemudahan asas, projek pembangunan dan bantuan kesejahteraan di daerah Bentong serta seluruh negeri Pahang.

“Membiarkan jumlah tunggakan tersebut berlarutan sejak 2020 tanpa tindakan penguatkuasaan adalah satu kerugian besar kepada negeri dan rakyat,” katanya.

​Menyentuh tentang kesan ke atas beberapa fasiliti di kawasan peranginan berkenaan, Mohamad Zaini berkata, punca utama tindakan tersebut diambil adalah disebabkan kegagalan pengurusan hak milik menyempurnakan tanggungjawab mereka.

​”Kerajaan negeri tentunya sudah memberikan kelonggaran dan tempoh yang cukup wajar sejak 2020. Langkah penguatkuasaan mutlak bagi memastikan semua pihak menghormati undang-undang tanah negeri,” katanya.

Beliau berkata, tindakan melucut hak milik tanah berikutan kegagalan membayar cukai dilaksanakan mengikut garis panduan Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 (Akta 828). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN