BENTONG: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh, hari ini dilantik sebagai Ahli Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun, sekali gus memperkukuh suara politik Pahang di peringkat nasional.
Pelantikan tersebut dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Seri Paduka Baginda untuk melantik senator.
Mohamad Zaini, yang berpengalaman luas dalam politik akar umbi dan kepimpinan masyarakat, dilihat mampu membawa aspirasi rakyat Bentong serta memperjuangkan kepentingan negeri Pahang di Dewan Negara.
Beliau sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam UMNO termasuk Ketua Pemuda UMNO Pahang (1998–2001), Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong (1998–2023) dan kini sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong. Selain itu, beliau turut aktif dalam pertubuhan masyarakat serta syarikat korporat, antaranya sebagai Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Bentong dan Ahli Lembaga Pengarah YP Plantations Holding Sdn. Bhd.
Dilahirkan di Raub pada 25 Disember 1958, Mohamad Zaini memiliki latar pendidikan dalam bidang pentadbiran perniagaan (Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Open University Malaysia).
Beliau menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan menegaskan pelantikan itu bukan sekadar penghormatan peribadi, tetapi amanah besar untuk memperjuangkan suara rakyat Pahang di Dewan Negara.
“Keutamaan saya adalah memastikan kepentingan rakyat Bentong dan Pahang tidak diketepikan. Saya akan membawa suara akar umbi ke peringkat nasional, khususnya dalam hal berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan,. kesejahteraan anak muda dan petani,” katanya.
Beliau turut menekankan komitmen untuk bekerjasama erat dengan kepimpinan negeri dan kerajaan Pusat, demi memastikan dasar pembangunan negara memberi manfaat yang seimbang kepada semua negeri.
“Saya percaya dengan semangat muafakat dan integriti, kita mampu menjadikan Dewan Negara sebagai wadah memperkukuh demokrasi serta memperjuangkan kepentingan rakyat secara menyeluruh,” ujarnya. – UTUSAN










