BENTONG: Keluarga Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali syarikat pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos tahun lalu.
Anak Allahyarham, Shafieq Johari berkata, tindakan itu akan diambil selepas hasil siasatan nahas udara membabitkan pesawat Beechraft kelmarin mendedahkan ketidakpatuhan dan kesilapan dalam pengendalian pesawat berkenaan.
“Memang kita akan ambil tindakan undang-undang terhadap pengendali syarikat pesawat terhempas terbabit.
“Laporan kelmarin membuktikan bahawa berlaku ketidakpatuhan dan kesilapan dalam pengendalian pesawat berkenaan terutama membabitkan co-pilot atau pembantu juruterbang,” katanya ketika ditemui di Kampung Sum Sum, Janda Baik di sini.
Shafieq Johari berkata, mereka sekeluarga menerima dengan hati terbuka dan reda walaupun mengakui masih terkejut dengan hasil laporan dikeluarkan pihak kerajaan.
“Bila lihat hasil laporan penuh yang dikeluarkan ia berpunca berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak diguna pakai secara elok supaya dapat menjamin keselamatan rakyat yang ingin menggunakan penerbangan khususnya secara peribadi,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan dan agensi bertanggungjawab atas laporan yang ditunggu-tunggu ramai pihak dan berharap keluarga setiap mangsa terlibat mendapat keadilan sewajarnya.
Peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ oleh kru penerbangan semasa pemeriksaan sebelum melakukan pendaratan merupakan faktor utama nahas Pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor.
Punca tragedi yang mengorbankan enam individu pada 17 Ogos tahun lalu, didedahkan dalam laporan akhir nahas yang dikeluarkan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB).
Selain itu, laporan turut mendedahkan kru terlibat tidak mendapatkan latihan yang mencukupi selain kurang kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’.
Berdasarkan laporan setebal 148 muka surat yang dikeluarkan pada Jumaat, tindakan tersebut menyebabkan kehilangan lif secara tiba-tiba seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan dan kemalangan.
Pada 17 Ogos tahun lalu, pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang, Selangor.
Ia meragut 10 nyawa termasuk lapan penumpang dan krew di atas pesawat dan dua pengguna jalan raya. – UTUSAN










