WASHINGTON: Serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap bot yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Laut Caribbean dan Lautan Pasifik melanggar undang-undang antarabangsa dan berkemungkinan merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
Dalam laporan diterbitkan kelmarin, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia dan antikeganasan, Ben Saul berkata, AS menyerang 68 kapal di perairan antarabangsa antara September 2025 hingga Ogos tahun ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh.
AS melakukan serangan itu sebagai tindakan mempertahankan diri terhadap pengganas dadah.
Bagaimanapun, laporan PBB itu menolak hujah berkenaan.
“Serangan ketenteraan Amerika Syarikat itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, melanggar hak untuk hidup dan berkemungkinan merupakan jenayah terhadap kemanusiaan,” menurut laporan itu.
Laporan itu didedahkan dua hari selepas tentera AS mengumumkan pihaknya membunuh empat orang dalam serangan terhadap sebuah kapal di Laut Caribbean.
Kempen membanteras dadah itu turut dikecam kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan pembunuhan itu sebagai tindakan di luar proses undang-undang.
Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon menerbitkan video serangan berkenaan di media sosial. Namun, ia hanya mendedahkan sedikit maklumat mengenai individu yang terbunuh atau bukti yang mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah.
Laporan PBB itu berkata, AS tidak mempunyai hak menggunakan kekerasan bagi tujuan mempertahankan diri terhadap kegiatan pengedaran dadah yang didakwa berlaku.
Laporan itu berhujah, kegiatan pengedaran dadah tidak memenuhi ambang undang-undang sebagai ‘serangan bersenjata’ yang membolehkan hak mempertahankan diri digunakan. – AL JAZEERA











