Jangan tarik institusi raja dalam percaturan politik - Wanita PKR - Utusan Malaysia

Jangan tarik institusi raja dalam percaturan politik – Wanita PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institusi raja tidak boleh ditarik ke dalam percaturan politik atau dijadikan medan pertarungan kuasa, meskipun wujud perbezaan antara pihak lain.

Ketua Wanita PKR, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan adat mesti menjadi panduan kepada semua pihak dalam isu krisis adat negeri itu.

Katanya, pihaknya memandang serius perkembangan yang berlaku di Negeri Sembilan, khususnya tindakan Menteri Besar dan barisan EXCO berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan. Dalam kerangka ini, setiap institusi mempunyai bidang kuasa dan batas yang mesti dihormati.

“Kuasa eksekutif tidak boleh digunakan untuk mengambil alih peranan yang diperuntukkan kepada institusi lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata semua pihak perlu menghormati bidang kuasa Negeri Sembilan dalam menyelesaikan kemelut pentadbiran dan institusi diraja negeri itu.

Sebarang tindakan atau keputusan berkaitan kemelut berkenaan perlu mengambil kira pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Tegasnya, ia selari dengan peruntukan Perlembagaan selain merujuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Fadhlina berkata, apa juga perbezaan mengenai kedudukan Undang atau proses adat hendaklah diselesaikan melalui saluran dan tatacara yang sah.

Katanya, sebarang pertikaian tidak boleh menjadi alasan untuk pihak eksekutif mengambil tindakan melangkaui bidang kuasanya.

“Justeru, Wanita PKR menggesa semua pihak supaya menghentikan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan serta memberikan ruang kepada proses yang sah untuk berjalan.

“Mempertahankan institusi raja bukan soal keberpihakan politik, ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan Perlembagaan dihormati dan institusi Raja terus dimartabatkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×