Semakan cukai tanah tangani jurang desa-bandar - Kon Yeow 

Semakan cukai tanah tangani jurang desa-bandar – Kon Yeow 

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri menjelaskan, semakan cukai tanah 2026 dibuat selepas mengambil kira keperluan semasa serta kadar cukai yang tidak selaras sejak puluhan tahun lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang merupakan antara negeri terakhir di Semenanjung yang belum melaksanakan semakan cukai tanah setiap 10 tahun seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara.

“Semakan terakhir dibuat pada tahun 1994 dan dilaksanakan pada 1996 iaitu hampir 30 tahun lalu menyebabkan struktur kadar cukai tidak lagi mencerminkan realiti pembangunan semasa,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pembayar Cukai Pulau Pinang (Ratepayers Penang) mendakwa, semakan cukai tanah terkini dan proses klasifikasi semula tanah desa kepada tanah bandar di Pulau Pinang memberi impak berganda kepada kenaikan kadar cukai tanah.

Persatuan itu juga mendakwa, terdapat kelemahan dalam struktur cukai tanah yang tidak selaras dengan Kanun Tanah Negara (Akta 828) selain wujud mekanisme rebat serta rayuan pengurangan kadar cukai yang tidak jelas dan telus.

Menurut Kon Yeow, pewartaan bandar kali terakhir dilakukan pada tahun 1966, melibatkan 16 kawasan termasuk George Town, Butterworth dan Bukit Mertajam, menjadikan jurang antara kawasan desa dan bandar semakin ketara.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri mengambil langkah menaik taraf beberapa kawasan Tanah Desa kepada 25 bandar baharu bagi memastikan kadar cukai lebih adil dan selaras dengan tahap pembangunan semasa,” katanya.

Katanya, pembangunan pesat di kawasan seperti Seberang Jaya, Bertam dan Bandar Cassia menjadikan kawasan tersebut setanding dengan kawasan bandar dari segi ekonomi dan sosial.

“Dengan perkembangan ini, adalah wajar semakan dilaksanakan bagi mengurangkan jurang ketara antara pemilik tanah di kawasan desa dan bandar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui semakan berkenaan menyebabkan peningkatan cukai yang tinggi kepada sesetengah pemilik tanah, khususnya melibatkan hak milik lama.

“Kerajaan negeri sedar dan prihatin terhadap impak kenaikan ini. Justeru, rebat sebanyak 50 peratus diberi bagi mengurangkan beban yang ditanggung. Kerajaan negeri turut menambah baik mekanisme rayuan dengan lebih 350 permohonan telah diterima dan sedang diteliti oleh pentadbir tanah di setiap daerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN