LIPIS: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengambil inisiatif memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kesalahan pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Lipis-Gua Musang.
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya mendapat kerjasama Majlis Daerah Lipis (MDL) memasang CCTV sejak 1 Jun lalu di beberapa lokasi ‘hot spot’ di laluan tersebut.
“Kita bekerjasama dengan MDL bagi mengenalpasti individu yang melakukan kesalahan terutama membuang sampah di laluan LTU.
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil jika pengguna jalan raya masih berdegil dan tidak mengambil serius perkara ini. Selain itu, tindakan kompuan dan notis amaran boleh dikenakan pada bila-bila masa jika berlaku kesalahan berulang,” katanya di sini.
Sharudin berkata, Alam Flora Lipis juga sudah menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan tong sampah di lokasi tumpuan pengguna jalan raya bagi memudahkan mereka membuang sampah sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
“Pengguna jalan raya perlu sedar bahawa setiap tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah merata-rata akan diperhatikan melalui CCTV.
“Justeru itu, adalah diharapkan agar pengguna jalan raya bersikap lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran,” jelasnya.
Sementara itu, Yang Dipertua MDL, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim berkata, usaha meletakkan CCTV di sepanjang LTU akan memudahkan pemantauan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengesan pelaku yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya lagi, sejak pemasangan CCTV berkenaan, pihaknya berjaya mengesan tabiat segelintir pengguna jalan raya yang bertindak membuang sampah daripada tingkap kenderaan mereka.
“Sehingga hari ini terdapat beberapa pengguna jalan raya bertindak membuang sampah sarap dan air kencing di laluan itu. Tindakan kompaun akan diambil kepada pengguna terlibat. Ini juga antara usaha untuk mengurangkan lambakan sampah di bahu jalan sepanjang laluan LTU,” katanya. – UTUSAN










