Israel masih 'simpan' 198 jenazah rakyat Palestin

Israel masih ‘simpan’ 198 jenazah rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Tentera Israel masih menahan 198 jenazah rakyat Palestin yang terbunuh sepanjang 2024, dedah sebuah kumpulan advokasi Palestin, kelmarin.

Kempen Kebangsaan untuk Mengambil Semula Jenazah Syuhada berkata, angka itu merupakan satu pertiga daripada 641 jenazah yang disimpan di Tanah Perkuburan Bernombor dan bilik mayat di Israel, seperti yang didokumenkan oleh kumpulan tersebut.

Tanah Perkuburan Bernombor adalah kawasan perkuburan tanpa nama yang ditanda dengan batu-batu sempadan dan plat logam bernombor sebagai pengganti nama si mati dan nombor tersebut merujuk kepada fail individu yang disimpan oleh pihak keselamatan Israel.

Pada September 2019, Mahkamah Agung Israel membenarkan pihak tentera untuk menahan jenazah rakyat Palestin untuk digunakan sebagai ‘umpan’ tawaran dalam rundingan masa hadapan.

Namun, kempen tersebut menjelaskan data mereka tidak termasuk jenazah yang ditahan dari Gaza kerana kekurangan maklumat yang tepat dan sehingga kini mereka merekodkan pemulangan 325 jenazah dari Gaza oleh pihak berkuasa Israel.

Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, tentera Israel terus melancarkan perang genosid terhadap Gaza yang mengorbankan lebih 45,500 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera.

November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangan tersebut.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN