Hamas sedia bebaskan 34 tebusan Israel

Hamas sedia bebaskan 34 tebusan Israel

PENUNJUK perasaan memegang potret tebusan yang ditawan di Gaza ketika demonstrasi menggesa pembebasan mereka di luar ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Tel Aviv.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Hamas dilaporkan bersedia untuk membebaskan 34 tebusan jika fasa pertama perjanjian dengan Israel berjaya dimeterai.

Perkara itu dilaporkan agensi berita Reuters dan AFP, yang memetik seorang pegawai Hamas tanpa mendedahkan nama dan jawatannya.

Ahad lalu, Israel berkata, rundingan tidak langsung mengenai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan disambung semula di Qatar.

SETUJU BEBAS TEBUSAN

Usaha terbaharu itu dibuat beberapa minggu sebelum Presiden terpilih, Donald Trump mengambil alih Rumah Putih pada 20 Januari ini.

“Hamas bersetuju untuk membebaskan 34 tahanan Israel daripada senarai yang dibentangkan oleh rejim itu sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian pertukaran tahanan,” kata pegawai Hamas.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa, Hamas masih belum memberikan senarai tebusan untuk dibebaskan di bawah perjanjian tersebut.

Tetapi pegawai Hamas memaklumkan, pertukaran awal itu akan merangkumi semua wanita, kanak-kanak, warga emas dan tawanan sakit yang masih ditahan di Gaza.

Jelasnya, ada yang mungkin sudah mati dan Hamas memerlukan masa untuk menentukan keadaan mereka.

“Hamas telah bersetuju untuk membebaskan 34 tebusan itu, sama ada masih hidup atau mati.

“Bagaimanapun, kumpulan itu memerlukan tempoh bertenang selama seminggu untuk berkomunikasi dengan penculik dan mengenal pasti mereka yang masih hidup dan mereka yang sudah mati,” kata pegawai itu.

Pegawai Hamas berkata, usaha memeterai perjanjian gencatan senjata bergantung kepada persetujuan Israel terhadap gencatan senjata kekal dan pengunduran tentera rejim dari Gaza.

Semasa serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetus perang Gaza, kumpulan itu dilaporkan membawa 251 tebusan, dengan 96 daripadanya kekal di Gaza sementara tentera Israel berkata 34 orang sudah meninggal dunia.

USAHA SAAT AKHIR

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang menjadi pengantara rundingan, mengharapkan gencatan senjata berjaya dilaksanakan pada saat-saat akhir sebelum Trump memegang jawatan pada 20 Januari.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, Washington mahu melihat perjanjian gencatan senjata di Gaza dimuktamadkan sebelum berakhirnya pentadbiran Biden, tetapi ia mungkin mengambil masa yang lebih lama.

“Kami sangat ingin membawa perang ini ke garisan penamat dalam dua minggu akan datang.

“Sekiranya kami tidak melepasi garisan penamat dalam dua minggu akan datang, saya yakin ia akan tetap berjaya dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar ketika melawat Korea Selatan.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot dalam temu bual dengan radio RTL berkata, pihaknya akan terus memberikan tekanan yang diperlukan bagi memastikan usaha perjanjian itu berjaya dicapai.

“Malangnya, ia tidak hanya bergantung kepada kami,” katanya.

Disember lalu, Qatar yakin momentum perbincangan sudah di atas landasan berikutan kemenangan Trump, tetapi Hamas dan Israel kemudian saling menuding satu sama lain kerana mengenakan syarat serta halangan baharu.

Ahad lepas, tentera Israel mendakwa menyerang lebih 100 sasaran pejuang di Gaza sejak dua hari lalu, menandakan peningkatan ketara dalam serangannya.

Wartawan Al Jazeera, Ali Hashem yang melaporkan dari Doha berkata, masih terdapat perbezaan ketara untuk mera patkan jurang kedua-dua pihak bertelagah itu.

“Akhirnya, ada keperluan untuk keputusan politik dan keputusan ini sekarang adalah pada Netanyahu. Terpulang kepada Israel sama ada untuk membawa usaha ini ke peringkat kedua atau tidak,” katanya.

Ali menjelaskan, rundingan itu juga berlaku dalam konteks amaran Trump tentang akibat yang bakal diterima jika perjanjian tidak berjaya dicapai.

“Beberapa minggu lalu, Trump memberi amaran jika tiada gencatan senjata ketika beliau memegang jawatan, maka ‘neraka’ akan dilepaskan,” katanya.

Beliau percaya amaran itu sudah tentu tidak ditujukan kepada sekutunya, Netanyahu, sebaliknya jelas menyasarkan kumpulan Hamas.

“Jadi, bagaimana Hamas akan menangani perkara ini? Adakah mereka akan melepaskan apa yang mereka cari? Terutamanya isu pengunduran Israel dari Gaza dan gencatan senjata kekal.

“Kerana sekarang, pada masa Hamas membebaskan tebusan yang dipegangnya, tidak ada jaminan bahawa perang ini akan berakhir. Dan itulah sebabnya Hamas mahukan komitmen yang jelas daripada Israel,” jelasnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN