Gaza ‘kehilangan’ hampir 160,000 rakyat akibat perang

Gaza ‘kehilangan’ hampir 160,000 rakyat akibat perang

PENDUDUK mengusung jenazah Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di kem perlindungan sementara di Mawasi, Khan Younis di selatan Gaza pada 2 Januari lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Gaza kehilangan hampir 160,000 rakyatnya akibat perang Israel di wilayah itu sejak Oktober 2023.

Menurut Konsensus Biro Perangkaan Pusat Palestin yang diterbitkan kelmarin, jumlah penduduk Palestin di Gaza turut menurun sebanyak enam peratus tahun lalu.

Manakala, jumlah keseluruhan penduduk Palestin di wilayah pendudukan, dalam Israel dan di seluruh dunia mencecah hampir 15 juta orang.

Laporan itu berkata, penurunan populasi di Gaza pada 2024 menjadikan keseluruhan penduduknya kini kepada 2.1 juta orang, berbanding 2.2 juta orang sebelum perang.

Ia turut mengesahkan kematian 45,848 individu semasa peperangan Israel di Gaza setakat Disember lalu.

Jumlah itu termasuk 17,581 kanak-kanak, 12,048 wanita serta 11,000 individu yang hilang dan dipercayai maut di bawah runtuhan bangunan.

Selain itu, seramai 108,090 orang cedera dan 100,000 rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan pantai sejak serangan ketenteraan Israel bermula pada Oktober 2023.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan angka tersebut sebagai ‘mengerikan’ dan menunjukkan realiti kekejaman serta pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, lapor agensi berita WAFA.

Menurut Biro Perangkaan, jumlah keseluruhan rakyat Palestin mencecah 14.9 juta pada 2024, di mana 7.3 juta tinggal di antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean.

Daripada jumlah itu, 5.5 juta tinggal di Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Gaza, dengan 65 peratus berusia bawah 30 tahun dan hanya empat peratus berumur 65 tahun ke atas.

Kira-kira 3.4 juta orang tinggal di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, 2.1 juta di Gaza, manakala 1.8 juta lagi merupakan warga Palestin di Israel.

Kira-kira 6.4 juta rakyat Palestin menetap di pelbagai negara Arab, termasuk Jordan, Syria, Lubnan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Arab Saudi.

Sementara baki 1.2 juta lagi rakyat Palestin tergolong dalam diaspora di negara Barat, termasuk Eropah dan Amerika Utara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN