BEIRUT: Tentera Israel menyasar dan merobohkan rumah di selatan Lubnan pada Ahad, dalam pelanggaran terbaharu terhadap gencatan senjata yang bermula sejak 27 November lalu.
Menurut laporan rasmi, jumlah pelanggaran oleh tentera Israel kini mencecah 287, menyebabkan 31 kematian dan 37 kecederaan.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan, tentera Israel memusnahkan banyak rumah di bandar Kfarkela, yang terletak di wilayah Nabatieh di selatan Lubnan.
Tindakan serupa dilaporkan di kawasan Hanin Bint Jbeil, di mana rumah turut menjadi sasaran.
Tentera Israel mengekalkan kehadiran besar di beberapa kawasan di Bint Jbeil, meneruskan operasi untuk memusnahkan rumah dan infrastruktur.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 4,061 orang terbunuh sejak 8 Oktober 2023, termasuk 1,106 wanita dan kanak-kanak serta 222 petugas kesihatan.
Sebanyak 16,661 orang lagi dilaporkan cedera, kata kementerian.
Perjanjian gencatan senjata menetapkan kerajaan Lubnan untuk menghalang Hezbollah atau mana-mana kumpulan bersenjata lain daripada melancarkan operasi terhadap Israel.
Manakala, Israel berikrar untuk mengelak daripada melakukan serangan ketenteraan terhadap sasaran awam, tentera atau kerajaan di Lubnan melalui darat, laut atau udara.– ANADOLU










