GAZA: Tentera Israel memaksa pengosongan Hospital Indonesia di bahagian utara, menyebabkan ramai pesakit termasuk yang berjalan kaki, berpindah ke hospital lain di Bandar Gaza, semalam.
Hospital Indonesia adalah satu daripada hospital di Gaza yang masih separa berfungsi dan terletak di kawasan di bawah tekanan ketenteraan Israel selama hampir tiga bulan.
Israel sebelum ini mendakwa, operasi di sekitar tiga komuniti utara Gaza berhampiran hospital – Beit Lahiya, Beit Hanoun dan Jabalia – kononnya bertujuan menyasarkan kumpulan pejuang Hamas.
Penduduk Palestin menuduh Israel berusaha mengosongkan utara Gaza secara kekal untuk mewujudkan zon penampan, namun dinafikan pihak rejim.
Pengarah Kementerian Kesihatan di Gaza, Munir Al-Bursh berkata, tentera Israel mengarahkan pegawai hospital untuk mengosongkan bangunan pada Isnin, sebelum menyerbu premis berkenaan awal pagi Selasa dan memaksa mereka yang berada di dalam untuk berpindah.
Beliau berkata, dua lagi kemudahan perubatan di utara Gaza, Hospital Al-Awda dan Kamal Adwan, turut menjadi sasaran serangan tentera Israel yang beroperasi di kawasan tersebut.
“Pasukan pendudukan menamatkan operasi di ketiga-tiga hospital ini kerana serangan berulang kali yang merosakkan dan memusnahkan sebahagian daripadanya,” kata Munir dalam satu kenyataan.
Sementara itu, tentera Israel konon mendakwa sedang menyiasat laporan tersebut.
Israel turut mendakwa, ia memudahkan penghantaran bekalan perubatan, bahan bakar dan pemindahan pesakit ke hospital lain di kawasan tersebut sepanjang tempoh itu dengan kerjasama agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Setakat ini, pegawai di ketiga-tiga hospital tersebut enggan mematuhi arahan Israel untuk mengosongkan premis atau meninggalkan pesakit tanpa pemantauan sejak serangan ketenteraan baharu bermula 5 Oktober lalu.– REUTERS










