Peneroka haram Israel bakar masjid di Tebing Barat

Peneroka haram Israel bakar masjid di Tebing Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Peneroka haram Israel membakar masjid di Tebing Barat yang diduduki, termasuk merosakkan dinding bangunan itu dengan slogan kebencian dan perkauman.

Gabenor Salfit, Abdallah Kamil berkata, serangan keganasan terbaharu peneroka menyasarkan masjid Bar al-Walidain di kampung Marda, semalam.

“Sekumpulan peneroka melakukan serangan awal pagi dengan membakar masjid,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang penduduk kampung memberitahu agensi berita AFP, peneroka membakar pintu masuk masjid dan menulis slogan Ibrani di dinding.

Seorang lagi penduduk berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sebelum merebak ke seluruh bangunan.

Ketua Majlis kampung Marda, Nasfat al-Khufash turut mengesahkan serangan keganasan sistematik oleh kumpulan peneroka, dalam temu bual dengan Reuters.

Abdallah berkata, peneroka haram memasuki kampung itu di bawah perlindungan tentera Israel dan tindakan vandalisme serta grafiti sama dilaporkan di kawasan berhampiran.

Kementerian Luar Palestin di Ramallah mengutuk insiden itu sebagai tindakan perkauman dan bukti kempen hasutan yang meluas terhadap rakyat oleh kerajaan kanan ekstremis Israel.

Keganasan peneroka haram di Tebing Barat semakin meningkat sejak perang Gaza bermula pada 7 Oktober 2023.

Sehingga Oktober tahun ini, terdapat sekurang-kurangnya 1,400 serangan peneroka haram di wilayah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN