KARACHI: Pakistan melaporkan kes baharu polio semalam, menjadikan jumlah keseluruhan untuk tahun ini kepada 65, kata pihak berkuasa kesihatan.
Institut Kesihatan Negara berkata, kes terbaharu dilaporkan di daerah Qila Abdullah di wilayah Balochistan, yang bersempadan dengan Afghanistan.
Ini adalah kes ketujuh yang dilaporkan dari daerah terpencil itu tahun ini.
Sebahagian besar kes polio iaitu 27 kes, dilaporkan dari Balochistan, diikuti dengan 18 kes masing-masih dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa dan Sindh, serta satu kes di wilayah Punjab dan Islamabad.
Pakistan melancarkan kempen anti polio terakhir tahun ini pada minggu lalu, dalam usaha berterusan untuk menghapuskan penyakit yang melumpuhkan dari negara itu.
Lebih 240 juta penduduk negara Asia Selatan itu terus tertakluk kepada sekatan perjalanan dikaitkan dengan polio yang dikuatkuasakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sejak 2014, WHO mewajibkan semua pelancong dari Pakistan untuk mengemukakan sijil vaksinasi polio yang sah sebelum meninggalkan negara itu.
Kempen vaksinasi polio terganggu, terutama di kawasan sempadan Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa, apabila kumpulan militan menyerang kakitangan yang memberikan suntikan serta pegawai polis membantu menjaga keselamatan pasukan vaksinasi.
Kumpulan itu sering menganggap kempen tersebut sebagai sebahagian daripada konspirasi anti-Islam dan Barat, sehingga ramai pemberi vaksin terutama wanita menerima ancaman bunuh.
Laporan media tempatan menunjukkan kira-kira 150 orang terlibat dalam kempen polio terbunuh di seluruh Pakistan sejak 2012.– ANADOLU










