GAZA: Tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan semalam, satu daripada tiga kemudahan perubatan di pinggir utara Gaza, dan mengarahkan puluhan pesakit serta ratusan yang lain untuk mengosongkan kawasan tersebut.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, pihaknya sudah berminggu-minggu terputus hubungan dengan kakitangan Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya.
Ia kemudian melaporkan tentera Israel menangkap pengarah hospital, Abu Safiya bersama puluhan kakitangan lain.
“Pasukan pendudukan kini berada di dalam hospital dan mereka sedang membakarnya,” kata pengarah kementerian, Munir Al-Bursh dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tentera Israel mendakwa ia berusaha mengehadkan kecederaan kepada orang awam dan memudahkan pemindahan selamat pesakit serta kakitangan perubatan sebelum operasi tanpa memberikan butiran lanjut.
Dalam kenyataan itu, Israel mendakwa pejuang Hamas beroperasi dari hospital tersebut sepanjang perang dan menjadikan kemudahan itu sebagai kubu utama.
Hamas menafikan dakwaan itu dan menegaskan tiada seorang pejuang yang berada di hospital.
Timbalan Menteri Kesihatan yang dilantik Hamas, Youssef Abu El-Rish berkata, pasukan Israel sengaja membakar bilik pembedahan, makmal dan gudang hospital.
Di lokasi lain di Gaza, serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 25 nyawa, termasuk 15 orang di sebuah rumah di Bandar Gaza, menurut pegawai perubatan dan perkhidmatan kecemasan awam.– REUTERS











