BAITULMUQADDIS: Israel meluluskan rancangan untuk menggandakan populasi di Bukit Golan yang diduduki, mendakwa ancaman dari Syria masih wujud walaupun mendapat jaminan daripada pemimpin pejuang yang menggulingkan bekas Presiden, Bashar al-Assad minggu lalu.
Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, kerajaan sebulat suara meluluskan rancangan lebih AS$11 juta (RM49 juta) untuk menggalakkan pertumbuhan demografi di Bukit Golan.
Netanyahu mendakwa langkah itu perlu kerana barisan hadapannya terdedah ‘bahaya’ di sempadan dengan Syria selepas kejatuhan rejim Bashar kepada pakatan pejuang yang diketuai oleh Islam Sunni.
RAMAIKAN PENDUDUKAN HARAM
Netanyahu berkata, beliau mahu ‘meramaikan’ lagi penduduk Dataran Tinggi Golan yang dirampas Israel semasa Perang Enam Hari 1967, walaupun kawasan itu dianggap diduduki secara haram di bawah undang-undang antarabangsa.
“Mengukuhkan Golan adalah mengukuhkan Israel dan ia amat penting pada masa ini. Kami akan terus berpegang padanya, memastikan ia berkembang dan menetap di dalamnya,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Pada 2019, Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika itu mengisytiharkan sokongan Washington terhadap kedaulatan Israel ke atas Golan, tetapi ia tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara.
Syria menuntut Israel berundur tetapi rejim itu berdegil enggan berbuat demikian, memetik kebimbangan keselamatan hingga menyebabkan pelbagai usaha damai gagal.
Tentera Israel dilaporkan berpindah ke zon penampan yang memisahkan Dataran Tinggi Golan dari Syria beberapa hari selepas penggulingan Bashar dan berkata, perubahan kawalan di Damsyik bermakna aturan gencatan senjata sebelum ini ‘runtuh’.
“Kami tidak mempunyai kepentingan dalam konflik dengan Syria. Tindakan Israel di Syria bertujuan untuk mengagalkan potensi ancaman dari Syria dan menghalang pengambilalihan unsur pengganas berhampiran sempadan kita,” kata Netanyahu.
Menteri Pertahanan, Israel Katz dalam satu kenyataan turut mendakwa perkembangan terkini di Syria meningkatkan ancaman kepada Israel, walaupun imej sederhana yang ditunjukkan oleh pemimpin pejuang yang mengambil alih kuasa.
ABAI KECAMAN DUNIA
Arab Saudi, Qatar, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengecam keputusan Israel serta menyifatkannya sebagai ‘alasan’ dan usaha yang disengajakan untuk meluaskan pendudukan.
Terdapat lebih 30 penempatan Israel melibatkan kira-kira 20,000 orang di Bukit Golan yang dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Para peneroka tinggal bersama kira-kira 20,000 orang Syria, kebanyakannya bangsa Arab Druze yang tidak melarikan diri apabila kawasan itu berada di bawah kawalan Israel.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert berkata, beliau tidak melihat sebarang sebab munasabah untuk pendudukan itu berkembang di Bukit Golan.
“[Netanyahu] berkata kami tidak berminat untuk meluaskan konfrontasi dengan Syria dan kami berharap kami tidak perlu memerangi pejuang baharu yang kini mengambil alih Syria.
“Jadi mengapa kami melakukan sebaliknya? Kami sudah mempunyai masalah yang cukup banyak untuk ditangani,” katanya kepada program Newshour BBC.
Pengumuman Netanyahu berkaitan Bukit Golan dibuat sehari selepas pemimpin de-facto baharu Syria, Abu Mohammed al-Jolani mengkritik Israel kerana serangan berterusan terhadap kemudahan tentera di negara itu.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mendokumenkan lebih 450 serangan udara Israel di Syria sejak 8 Disember lalu, termasuk 75 lagi pada petang Sabtu lalu.
Abu Mohammed menegaskan, serangan itu ‘melintasi garis merah’ dan berisiko meningkatkan ketegangan di rantau itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) tidak mengulas mengenai kenyataannya, tetapi memberi alasan serangan itu perlu bagi menghentikan senjata kimia daripada jatuh ke tangan pelampau.
Bercakap kepada TV Syria yang dilihat sebagai pro-pembangkang semasa perang saudara, Abu Mohammed menjelaskan penduduk negara itu sudah letih berperang selama bertahun-tahun dan beliau tidak akan membenarkan sebarang konfrontasi atau konflik baharu tercetus lagi dalam kalangan rakyat mahu pun dengan negara jiran.
“Keutamaan pada peringkat ini adalah pembinaan semula negara, mencari kestabilan dan tidak lagi diheret ke dalam pertikaian yang boleh membawa kepada kemusnahan selanjutnya,” katanya.
Beliau juga berkata, penyelesaian diplomatik adalah satu-satunya cara untuk memastikan keselamatan dan kestabilan Syria tanpa melibatkan sebarang pengembaraan ketenteraan baharu.– REUTERS










