GAZA: Seorang lagi bayi di Gaza meninggal dunia akibat kesejukan semalam, menjadikan kematian keempat yang dikaitkan dengan suhu beku dalam tempoh 72 jam, di tengah serangan berterusan Israel di wilayah tersebut.
Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, bayi itu meninggal dunia akibat suhu sejuk, ketika rumah dan infrastruktur musnah sehingga menyebabkan penduduk terdedah kepada cuaca melampau.
Sela Mahmoud Al-Fasih dilaporkan meninggal dunia akibat suhu sejuk melampau di wilayah itu.
Rabu lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga minggu meninggal dunia di sebuah kem Al-Mawasi, di bandar Khan Younis selatan Gaza berikutan faktor sama, kata Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Munir Al-Bursh.
Selain itu, doktor di Hospital Nasser di Khan Younis, Dr. Ahmed Al-Farra turut melaporkan dua kematian sama pada Selasa lalu.
“Seorang bayi berusia tiga dan seorang lagi kurang daripada sebulan, kedua-duanya meninggal dunia selepas penurunan suhu yang teruk,” katanya.
Al-Farra berkata, kebanyakan khemah perlindungan tidak dapat melindungi daripada kesejukan terutama pada waktu malam.
“Malah, bayi baru lahir menghadapi risiko lebih tinggi kerana kekurangan zat makan dalam kalangan ibu mengurangkan kualiti susu yang boleh diberikan,” katanya.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023 menyebabkan ribuan keluarga kehilangan tempat perlindungan, makanan atau penjagaan perubatan, sekali gus memburukkan lagi krisis kesihatan.– AGENSI










