WASHINGTON: Sebahagian pemimpin Muslim di Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menyokong Donald Trump sebagai membantah dasar pentadbiran Joe Biden terhadap konflik Gaza dan Lubnan, kini meluahkan rasa kecewa dengan pemilihan Kabinet Presiden Republikan itu.
Pengerusi kempen Abandon Harris di Pennsylvania yang juga pengasas bersama Muslims for Trump, Rabiul Chowdhury menegaskan, tidak berpuas hati dengan pemilihan anggota Kabinet Trump terutama Setiausaha Negara.
“Trump menang kerana sokongan kami dan kami tidak berpuas hati dengan pemilihan Setiausaha Negara dan yang lain,” katanya seperti dilapor Reuters.
Menurut penganalisis strategi, sokongan pengundi Islam terhadap Trump membantu beliau menang di Michigan dan mungkin mempengaruhi kemenangan di negeri-negeri penting yang lain.
Trump memilih Senator Republikan, Marco Rubio, seorang penyokong tegar Israel, untuk jawatan Setiausaha Negara.
Awal tahun ini, Rubio menegaskan tidak akan menggesa kepada gencatan senjata di Gaza dan percaya Israel harus menghapuskan setiap elemen Hamas.
Trump juga mencalonkan Mike Huckabee, bekas Gabenor Arkansas dan konservatif pro-Israel yang menyokong penduduk rejim di Tebing Barat dan menganggap penyelesaian dua negara untuk Palestin sebagai mustahil dilaksanakan.
Pengarah Eksekutif American Muslim Engagement and Powerment Network (AMEEN), Rexhinaldo Nazarko berkata, pengundi Islam berharap Trump boleh memilih anggota Kabinet yang berusaha ke arah keamanan, namun tiada petunjuk ia mengambil pendekatan demikian.
“Kami sangat kecewa. Nampaknya pentadbiran ini dipenuhi dengan golongan neokonservatif dan mereka yang sangat pro-Israel, pro perang, kegagalan bagi Trump dari segi pro keamanan dan antiperang,” katanya.
Nazarko menegaskan, komuniti Islam akan terus berusaha memastikan suara mereka didengar selepas menyumbang undi untuk membantu Trump menang.
Sementara itu, pengasas bersama kempen Abandon Harris, Prof. Hassan Abdel Salam menyifatkan rancangan pelantikan Trump tidak mengejutkan, tetapi lebih ekstrem daripada yang dijangkakannya.
“Ia seolah-olah dia sedang melaksanakan agensi Zionis secara berlebih. Kami sentiasa sangat skeptikal.
“Kami masih menunggu untuk melihat ke arah mana pentadbiran ini, tetapi nampaknya komuniti ini sudah dipermainkan,” katanya.– REUTERS










