PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad diarah menjalankan audit dalaman bagi menyiasat kerugian pelaburan membabitkan FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) bernilai RM43.9 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan tersebut adalah sebahagian tindakan untuk mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik dalam 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Selaku pengerusi, saya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.
“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.
“Tindakan ini juga bagi memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan, Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023. Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.
Di Butterworth Anwar turut bertegas berkata, beliau tidak akan menghalang siasatan terhadap Khazanah dan kontroversi dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sehingga pengantungan perlembagaan pertubuhan itu.
Menurut beliau, walaupun Khazanah dipengerusikan oleh beliau sendiri, namun, beliau tidak akan berkompromi jika terbukti wujud salah laku dalam syarikat tersebut.
“Kalau salah, siasat. Kalau salah, dakwa. Kalau salah, hukum. Saya tidak peduli. (Dengan cara ini) barulah kita boleh perintah dengan adil,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (HPPK2024) di Pusat Konvokesyen PICCA, Butterworth Arena di sini semalam.
Mengenai Nafas, Perdana Menteri berkata, apa yang kerajaan mahukan cara pengurusan baja, benih dan sebagainya perlu dilakukan secara jujur.
“Saya sudah lama marah pada kartel ini. Kartel ini, ada kelompok kecil ‘jaga’ dia, bukan jaga rakyat. jadi kena faham mengapa siasatan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, agensi itu akan menyiasat mengenai kerugian pelaburan dalam Khazanah.
“SPRM memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan secara adil dan profesional.
“Orang ramai diminta memberi ruang untuk siasatan dilakukan serta mengelakkan spekulasi dan ‘perbicaraan awam’ terhadap pihak-pihak yang terbabit,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN










