KUALA LUMPUR: Perbicaraan hari pertama kes pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta membabitkan pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar ditangguhkan ke Julai selepas pembelaan memohon lanjutan masa bagi melengkapkan laporan audit kewangan syarikat.
Peguam bela kedua-dua tertuduh, Shaarvin Raaj berkata, pihaknya perlu menyerahkan sebanyak 12 jilid dokumen laporan audit kewangan kepada pihak juruaudit sebelum pernyataan pembelaan tertuduh dapat disediakan.
“Pihak kami memohon masa enam ke tujuh minggu bagi pihak juruaudit yang dilantik menyiapkan laporan audit kewangan dua syarikat milik pasangan itu iaitu FashionValet Sdn. Bhd. dan 30 Maple Sdn Bhd.
“Tarikh bicara (dijadualkan sebelum ini) tidak dapat dijalankan memandangkan situasi dan alasan dinyatakan itu,” katanya semasa prosiding di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh baharu perbicaraan bermula pada 20 dan 24 Julai, 17 dan 18 Ogos, 16 dan 23 Oktober, 3, 20 dan 30 November, 17 dan 18 Disember serta 15, 28 dan 29 Januari 2027.
Pada masa sama, Shaarvin turut memohon mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara waktu bagi membolehkan pasangan itu membuat visa untuk menunaikan haji.
“Kami memohon agar mahkamah dapat menyerahkan pasport hari ini kerana disebabkan pergolakan di Iran, pihak Kedutaan Arab Saudi mengetatkan syarat penerbangan dengan pasport perlu diserahkan bagi proses permohonan visa serta kekal disimpan oleh pihak kedutaan sehingga proses itu selesai.
“Anak guam juga dijangka menunaikan haji bermula 13 Mei hingga 17 Jun ini. Pasport akan diserahkan semula kepada pihak mahkamah pada 18 Jun nanti,” katanya.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan Fadzarudin, 37, didakwa niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn. Bhd. melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn. Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018 di sebuah bank di Bukit Damansara, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










