KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan dua program yang menekankan nilai kebersamaan dan penghargaan terhadap warga kerjanya menerusi program penyediaan bubur lambuk serta sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Merdeka 118, hari ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad turut menyertai warga kerja syarikat itu dalam program gotong-royong penyediaan bubur lambuk sebagai usaha memupuk semangat kerjasama serta budaya berkongsi dalam kalangan kakitangan.
Dalam majlis berasingan, PNB turut meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan serta peranan penting wanita dalam memacu kecemerlangan organisasi.
Sambutan tersebut turut menjadi platform untuk mengiktiraf kepimpinan, dedikasi dan pencapaian warga kerja wanita di syarikat berkenaan.
Menurut PNB, penganjuran kedua-dua program tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu dalam memupuk persekitaran kerja yang inklusif selain menghargai kepelbagaian serta mengukuhkan hubungan sesama warga kerja.
Permodalan Nasional Berhad merupakan antara syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan melebihi RM300 bilion yang merangkumi pelaburan strategik dalam syarikat korporat tempatan, ekuiti global, pelaburan persendirian dan hartanah. – UTUSAN










