KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah memindahkan dana berjumlah RM20.318 juta kepada FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) menerusi dua transaksi pada 2018.
Penolong Pengurus Maybank Cawangan Jalan Tun Razak, Shamsiah Musa, 55, berkata, transaksi pertama membabitkan RM11,953,509 dilakukan pada 4 Jun 2018 manakala transaksi kedua membabitkan RM8,365,001 dibuat pada 20 Disember tahun sama.
“Untuk makluman, saya telah menyemak semua penyata akaun bagi setiap bulan bagi tahun 2018 dan saya sahkan hanya terdapat dua transaksi pemindahan wang dari akaun Malayan Banking Berhad milik PNB ke akaun Public Bank milik FashionValet.
“Jumlah keseluruhan bagi kedua-dua transaksi itu adalah kira-kira RM20,318,510,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry.
Turut hadir Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah.
Shamsiah merupakan saksi pendakwaan kedua dalam perbicaraan membabitkan pengasas bersama FashionValet, Datuk Fadzarudin Shah Anuar dan isterinya, Datin Vivy Sofinas Yusof.
Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan pemindahan dana pelaburan Khazanah dan PNB sebanyak RM8 juta dari akaun bank FashionValet kepada syarikat 30 Maple tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pasangan itu juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan menyalahgunakan harta milik syarikat FashionValet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Shamsiah berkata, transaksi pertama dilakukan melalui pengisian borang oleh PNB sebelum diproses di kaunter bank.
Katanya, transaksi berkenaan memerlukan pengesahan daripada individu yang diberi kuasa bagi akaun PNB sebelum pihak bank melakukan pemindahan wang tersebut.
Bagi transaksi kedua pula, Shamsiah berkata, Maybank tidak membuat pengesahan kerana pemindahan itu dilakukan secara dalam talian oleh pemegang akaun yang mempunyai kuasa untuk melakukan transaksi.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk M. Athimulan, Shamsiah berkata, PNB tidak memberikan sebarang arahan supaya penggunaan dana yang dipindahkan kepada FashionValet dibekukan atau disekat.
Shamsiah turut bersetuju dengan cadangan Athimulan bahawa berdasarkan rekod bank, transaksi berhubung dana PNB itu diproses secara sah, telus serta mematuhi piawaian dan prosedur perbankan.
Athimulan: Semasa pihak bank menerima dana daripada PNB, adakah PNB memberikan sebarang arahan supaya penggunaan wang tersebut dibekukan atau disekat?
Shamsiah: Tiada.
Athimulan: Puan tidak mempunyai pengetahuan atau akses kepada terma perjanjian antara PNB dengan FashionValet?
Shamsiah: Setuju.
Athimulan: Berdasarkan rekod bank, semua transaksi berhubung dana PNB itu diproses secara sah, telus serta mematuhi piawaian dan prosedur perbankan?
Shamsiah: Setuju.
Bagaimanapun, Shamsiah berkata, beliau tidak mempunyai akses atau pengetahuan mengenai terma perjanjian antara PNB dengan FashionValet.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 17 Ogos ini. – UTUSAN










