KAHERAH: Sekurang-kurangnya 20 cedera apabila sebuah lokomotif melanggar bahagian belakang kereta api penumpang yang menuju ke Kaherah di selatan Mesir, hari ini.
Insiden itu merupakan kemalangan kereta api kedua yang berlaku dalam tempoh sebulan di negara Afrika Utara itu.
Keretapi Kebangsaan Mesir (ENR) dalam satu kenyataan berkata, pelanggaran berlaku di wilayah Minya, 270 kilometer di selatan Kaherah, dengan dua gerabak terjatuh ke dalam saluran air Terusan Ibrahimiya.
Menurut pihak berkuasa, punca kemalangan sedang disiasat.
Rakaman yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan dua gerabak yang sebahagiannya tenggelam dalam saluran air tersebut.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berasingan memberitahu, sekurang-kurangnya 20 orang cedera dibawa menerima rawatan ke hospital.
Katanya, 19 mangsa dimasukkan ke Hospital Besar Minya, manakala seorang lagi menerima rawatan di Hospital Universiti Minya.
Kereta api itu berjaya dipisahkan daripada gerabak yang terjejas, membolehkan ia meneruskan perjalanannya ke Kaherah, menurut ENR.
Kemalangan dan kereta api tergelincir adalah perkara biasa di Mesir, di mana sistem perkhidmatan yang semakin uzur sering terjejas oleh salah urus tadbir.
September lalu, dua kereta api penumpang bertembung di sebuah bandar di Delta Nile, mengakibatkan sekurang-kurang tiga maut.- AP










