TEMERLOH: Pas Pahang bersama rakan komponen Perikatan Nasional (PN) akan ‘menggempur’ 10 kawasan majoriti bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tumpuan tersebut terus dipertingkatkan dengan pelbagai pendekatan tanpa mengabaikan kawasan majoriti Melayu yang menjadi deposit parti itu.
Menurutnya, Pas menyedari demografi politik yang mana terdapat kawasan majoriti bukan Islam yang boleh menjadi undi penentu kemenangan pada PRU16.
“Kita rasional dengan faktor itu dengan mewujudkan Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat (DHPP) yang kini berjumlah lebih 70,000 sebagai entiti penyokong Pas bukan Islam.
“Selain itu, Kelab Penyokong Pas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk rakan komponen, Bersatu dan Gerakan begitu membantu menarik pengundi daripada pelbagai lapisan umur,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Kompleks Al-Makmur di sini semalam.
Tuan Ibrahim berkata, terdapat 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang memiliki hampir separuh pengundi bukan Melayu termasuk lapan dimenangi Pas dan PN menjadi kekuatan kepada survival pembangkang di negeri ini.
“Oleh itu, kita tetap yakin dengan komitmen, sokongan padu komponen PN, DHPP dan lain-lain yang bekerja kuat bagi merealisasikan PN Teraju Pahang pada. PRU16,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim berkata, Pas akan terus menyantuni pengundi membabitkan semua kaum.
“Halangan terbesar kita ialah tekanan politik daripada kerajaan negeri yang menggunakan kuasanya bagi membantutkan gerak kerja parti khususnya dalam menjalankan program bersama rakyat,” katanya.
Pengerusi Pemuda DHPP Pahang, B. Balendran, 38, berkata, slogan Pas untuk semua menarik orang bukan Islam menyokong perjuangan parti itu.
“Ahli DHPP telah membuktikan bekerja berkempen di kawasan bukan Melayu seperti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, Sungai Bakap dan Nenggiri.
“Oleh itu Pas tidak perlu bimbang dengan gerak kerja di kawasan bukan Melayu kerana DHPP bersedia pada bila-bila masa menjadi barisan hadapan,” tegasnya. – UTUSAN










