PETALING JAYA: PKR meletakkan syarat terhadap bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman, tidak boleh bertanding dalam pemilihan PKR untuk menjadi ahli parti itu.
Beliau memaklumkan perkara itu dengan merujuk surat Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepadanya sebagai makluman rasmi bahawa Muhammad Faiz diterima sebagai ahli PKR.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan waktu surat itu dihantar kepadanya dan isi kandungan di dalam surat tersebut.
Muhammad Faiz tidak mengulas lebih lanjut mengenai syarat itu sekali gus membayangkan beliau menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.
“Untuk para sahabat yang bertanya, di dalam surat SUA PKR kepada saya, MPP (Majlis Pimpinan Pusat) menerima saya sebagai ahli PKR.
“Dengan syarat saya tidak boleh bertanding untuk pemilihan PKR kali ini,” katanya ringkas dalam kenyataan di Facebook.
Pada Mac lalu, Muhammad Faiz mengesahkan menyertai PKR selepas hadir pada majlis doa selamat dan sesi penerangan isu-isu semasa di kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau bertekad memperkasa perjuangan asal PKR dan matlamat cakna rakyat kerajaan Selangor di bawah pimpinan Amirudin serta agenda nasional Malaysia Madani diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammad Faiz sebelum ini sering mengeluarkan kenyataan berlawanan dengan keputusan pimpinan tertinggi berhubung calon Pilihan Raya Negeri (PRN) mengumumkan meletak jawatan sebagai ahli MPT berkuat kuasa 7 Ogos tahun lalu.
Alasannya, beliau tidak boleh lagi mewakili kepemimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan dan hala tuju parti berkenaan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Muhammad Faiz tidak berpuas hati dengan cara pemilihan calon wakil rakyat parti itu yang bertanding dalam PRN yang disifatkan sebagai ‘lemah dan bermuslihat’.
Katanya, ini kerana Bersatu memilih beberapa calon yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk bertanding sekali lagi, antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bertanding di DUN Hulu Kelang) dan Datuk Seri Rina Harun (DUN Batu Tiga).
Muhammad Faiz berkata, Bersatu terpesong daripada objektif awal untuk menggantikan UMNO dengan memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda dan muka baharu, terutama yang mempunyai latar belakang bersih serta setia dengan parti sejak awal.
Katanya, keputusan parti yang sering mengabaikan suara akar umbi, para pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Bersatu telah mengalami kekalahan dalam PRN di Melaka dan PRN Johor sebelum ini.











