PETALING JAYA: Sasaran Pas untuk merebut 60 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mungkin sekadar mimpi apabila gandingan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terus utuh.
Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, perkara itu dapat dilihat apabila BN dan PH berjaya mengolah strategi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang memberi kemenangan manakala PRK Mahkota bakal diketahui nasibnya pada Sabtu ini.
Beliau berkata, kemenangan BN pada PRK Nenggiri baru-baru ini, jelas menjadi petunjuk bahawa sokongan pengundi Pas mula beralih arah setelah kebangkitan gelombang hijau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
“Sokongan 80 peratus pengundi Melayu terhadap Pas sudah ‘tepu’ kerana parti tersebut juga tahu mereka memerlukan pengundi bukan Melayu di negeri-negeri lain untuk mengukuhkan kedudukan mereka.
“Pencapaian yang ditunjukkan oleh PH pada PRU15 sebelum ini pula menunjukkan pengundi mereka semakin ramai yang terdiri daripada penyokong Melayu dan bukan Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, kata beliau, Pas perlu mengatur taktik baharu yang lebih berkesan bagi membuktikan mereka bukanlah ‘ancaman’ kepada pengundi bukan Melayu.
“Akan tetapi Pas berkemungkinan besar boleh berjaya untuk mengekalkan kerusi panas mereka di negeri-negeri ( Kedah, Terengganu, Kelantan) yang dimenangi pada PRU15,” katanya.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Pusat menetapkan 60 kerusi Parlimen untuk dimenangi parti itu pada PRU16.
Menurut, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap ahli dan pimpinan parti itu perlu mengambil perkara tersebut sebagai cabaran buat mereka.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman pula berpendapat, penyokong Pas sukar untuk beralih menyokong parti lain.
“Penyokong Pas ‘bersifat’ berpendirian sama dengan prinsip dan menyokong segala sentimen yang akan dibangkit oleh parti itu.
“Pas juga masih mempunyai penyokong yang kuat bukan sahaja terdiri daripada golongan sedia ada, malah mula mendapat sambutan daripada orang muda ,” katanya. – UTUSAN







