KLUANG: Para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan supaya memilih calon yang tepat bagi mewakili suara mereka.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, memilih calon yang salah boleh menyebabkan suara pengundi tidak dapat dibawa ke peringkat tertinggi kerana wakil rakyat bukan daripada pihak kerajaan.
Katanya, contoh paling dekat ialah masalah banjir di Kampung Bentong Dalam yang dibawa oleh calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang didakwa tidak diendahkan kerajaan.
“Hakikatnya projek pembangunan Sungai Melantai di Kampung Bentong sudah dimajukan kepada dua kementerian berkaitan untuk dilakukan tindakan.
“Malah, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kluang juga sudah membelanjakan sebanyak RM800,000 untuk membaiki tebing sungai yang runtuh akibat banjir sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Ziarah Kasih di Kampung Melayu Timur 2, di sini hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pihak yang merancang dan melakukan pembangunan adalah kerajaan bukan daripada pihak pembangkang. – UTUSAN











