Calon Bebas ‘meriahkan’ PRK DUN Mahkota?

Calon Bebas ‘meriahkan’ PRK DUN Mahkota?

DUN Mahkota akan memilih wakil rakyat baharu pada 28 September.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini teka-teki siapa yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diketahui.

Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) sudah mengumumkan calon masing-masing.

Syed Hussien Syed Abdullah, 40, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dan Mohamad Haizan Jaafar, 61, Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kluang menjadi taruhan parti masing-masing.

Mungkin ramai yang menjangkakan PRK DUN Mahkota akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PN, namun mungkin akan berlaku ‘kejutan’ pada hari penamaan calon, hari ini.

Tidak mustahil PRK berkenaan akan menyaksikan pertandingan tiga atau empat penjuru kerana mungkin ada Calon Bebas yang akan menyerahkan borang pencalonan yang bermula pukul 9 hingga 10 pagi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

Perkara itu bukan omong kosong kerana Utusan Malaysia difahamkan hingga semalam, sebanyak lapan set borang pencalonan telah dibeli oleh wakil parti dan individu.

Malah, borang pencalonan pertama yang dibeli adalah oleh individu pada minggu lalu.

Walaupun setakat ini belum ada lagi individu yang tampil mengumumkan akan bertanding sebagai Calon Bebas, namun individu tersebut akan muncul di pusat penamaan calon pagi ini.

Justeru, hasrat segelintir pihak untuk menyaksikan hanya BN dan PN bersaing dalam PRK DUN Mahkota yang ditetapkan pada 28 September ini mungkin tidak kesampaian.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung konsep demokrasi, kehadiran sesiapa sahaja yang ingin bertanding amat dialu-alukan.

Malah, lebih ramai yang bertanding, lebih banyak pilihan bagi para pengundi untuk memilih wakil rakyat yang diinginkan dan yakini mampu mengangkat suara mereka sama ada di peringkat DUN ataupun Parlimen.

Bak kata seorang sahabat yang juga pemerhati politik, lebih ramai yang bertanding, lebih meriah.

Walau bagaimanapun, ramai yang beranggapan bahawa persaingan sebenar tetap antara calon BN dan PN.

Malah, kehadiran Calon Bebas hanya dianggap ‘kacau daun’ sahaja dan tidak mampu menggugat undi kepada kedua-dua calon BN dan PN.

Andai benar ada Calon Bebas yang akan bertanding, kemunculannya turut pasti mencuri tumpuan rakyat, khususnya pengundi di DUN Mahkota.

Selamat berkempen dan memilih pengundi DUN Mahkota.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN