PETALING JAYA: Pengundi bukan Islam berkemungkinan tidak peduli dengan cadangan Pas untuk membuka keahlian kepada kumpulan itu kerana mereka tidak boleh menerima parti Islam itu yang pernah memperlekehkan mereka.
Ahli saintis politik Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menolak langkah itu mungkin diminati pimpinan dan ahli-ahli Dewan Perhimpunan Penyokong Pas (DPPP).
“Pengundi bukan Muslim menolak Pas kerana Pas pasca-2015 enggan menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah masyarakat majmuk, memperlekehkan bukan Muslim termasuk orang asal Sabah dan Sarawak sebagai kafir harbi (kalau tidak berkongsi aspirasi Pas) dan kafir zimmi (yang asalnya bermaksud ditakluk dan bernaung di bawah pemerintah Muslim) malah mempertikaikan kedudukan Kedah sebagai negeri.
“Orang DPPP mungkin seronok mengidamkan menjadi menteri kafir zimmi di bawah Pas suatu hari nanti.
“Pengundi Muslim hanya ingin menjadi warganegara seperti saudara Muslim mereka yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Pas bercadang membuka keahlian kepada bukan Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara itu adalah antara cadangan disuarakan sebelum ini dalam mesyuarat Majlis Syura dan Dewan Harian.
usteru, Chin Huat berkata, Pas perlu mengakui perbezaan aspirasi antara pengundi bukan Muslim dengan mencari jalan tengah.
“Pas perlu henti propaganda bahawa Pas ditolak pengundi bukan Muslim kerana mereka termakan fitnah, itu seolah-olah pengundi Muslim bodoh sampai tidak dapat mengenali kepentingan diri mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. P. Sivamurugan berkata, membuka keahlian kepada bukan Islam tidak akan dapat menarik sokongan pengundi kumpulan itu.
“Ini mungkin startegi yang mahu ditunjukkan Pas bahawa mereka tidak sebagaimana yang diperkatakan selama ini,” katanya.- UTUSAN







