Harga getah tinggi tapi pokok pula berpenyakit

Harga getah tinggi tapi pokok pula berpenyakit

SEMAN Guan menunjukkan keadaan batang pokok getah yang berkulat ketika ditemui di Kampung Palawan di Pasir Salak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Ketika harga getah meningkat ke paras tertinggi, sebahagian besar penoreh di Kampung Orang Asli Palawan di sini, tidak berpeluang memaksimumkan hasil disebabkan pokok getah berpenyakit.

Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JPKK) tersebut, Seman Guan berkata, sebahagian besar daripada kira-kira 70 ekar kebun getah penduduk di kampung itu me­ngalami penyakit batang berkulat, daun kekuningan dan gugur sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pokok getah tidak dapat ditoreh dan pokok yang tidak dijangkiti penyakit pula mengeluarkan hasil sedikit, menyebabkan penoreh kerugian ketika harga getah semakin meningkat.

“Harga getah ketika ini memang bagus semakin naik tapi kami tidak dapat menikmatinya kerana pokok getah di kampung ini banyak yang berpenyakit.

“Jika tidak, inilah masanya untuk kami mendapat pendapatan yang lebih tapi kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana penyakit batang berkulat yang menyerang sebahagia besar kebun getah di kampung kami,” katanya.

Menurutnya, penoreh berharap pihak yang berkenaan boleh membantu mereka sama ada memulihkan pokok atau menanam semula pokok.
Katanya, ini kerana mereka yakin harga getah akan naik dan stabil.

“Sebelum ini ada agensi berkenaan yang datang melihat keadaan pokok namun masalah ini belum dapat diatasi.

“Kami juga ada memohon peruntukan untuk tanaman semula tetapi belum diluluskan de­ngan alasan peruntukan tahun ini sudah habis. Kami akan memohon lagi tahun depan,” katanya.

Katanya, walaupun mereka berdepan dengan masalah pokok getah berpenyakit, namun penoreh tetap akan menanam semula pokok getah dan tiada cadangan untuk menukar kepada tanaman sawit.

“Tanah ini asalnya adalah tanaman getah dan kami tetap akan menanam semula pokok getah. Kami tidak boleh sesuka hati menukar tanaman getah kepada komoditi lain,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan lebih 200,000 pekebun kecil di seluruh negara kini menikmati harga tertinggi komoditi getah yang mencecah sehingga RM4.50 sekilogram dalam tempoh hampir 20 tahun.

Kenaikan harga getah antara RM4 hingga RM4.50 sekilogram itu membantu penoreh menjana pendapatan RM4,000 hingga RM6,000 sebulan bergantung keluasan tanaman komoditi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN