Vietnam rekod 100 kes keracunan rokok elektronik

Vietnam rekod 100 kes keracunan rokok elektronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Bilangan kemasukan ke hospital akibat penggunaan rokok elektronik semakin meningkat di Vietnam, dengan kebanyakan kes melibatkan golongan muda yang mengalami keracunan akut.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, pusat kawalan racun di Hospital Bach Mai Hanoi merawat sekitar 100 kes keracunan akibat rokok elektronik atau vape.

Pada 26 Jun lalu, seorang lelaki berusia 20-an di Hanoi dikejarkan ke Hospital Bach Mai selepas koma dan mengalami pelbagai komplikasi pada organ akibat penggunaan vape.

Mangsa ditemukan dalam keadaan sawan dan tidak sedarkan diri, sebelum mengalami koma dengan kegagalan pernafasan dan buah pinggang, pelbagai kerosakan organ, termasuk kecederaan otak serta jantung.

Ujian pada rokok elektronik yang digunakan mendapati terdapat ganja sintetik. Mangsa mempunyai sejarah menggunakan rokok elektronik selama bertahun-tahun dan pernah dimasukkan ke hospital kerana keracunan sama, tahun lalu.

Tinjauan yang dijalankan oleh pusat kawalan racun terhadap sampel rokok elektronik yang digunakan 120 pesakit mendapati 16 daripadanya disahkan positif dadah.

Ujian toksikologi pada beberapa spesimen yang dihantar ke institut forensik mengesan dadah termasuk ADB-Butinaca dan THC.

Pengarah Pusat Kawalan Racun, Dr. Nguyen Trung Nguyen berkata kemasukan ke hospital akibat penggunaan produk tembakau baharu semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Rokok elektronik ini digunakan secara meluas terutama dalam kalangan golongan muda, sehingga akhirnya menderita keracunan akut selepas menggunakan rokok jenis tersebut.

Ramai pengguna terutamanya golongan muda, percaya rokok elektronik tidak berbahaya kerana tiada kandungan nikotin.

“Ini adalah tanggapan yang salah. Rokok elektronik menimbulkan tiga risiko kesihatan Utama iaitu nikotin, perasa tiruan dan dadah.

“Pada masa ini, kos rawatan untuk kes keracunan akut daripada rokok elektronik berkait dadah dianggarkan lebih ratusan juta dong,” kata Dr Nguyen.- VIETNAM NEWS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×