PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memihak kepada pembangkang bukan ukuran rakyat menolak Kerajaan Perpaduan seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, keputusan PRK Sungai Bakap tidak mencerminkan isyarat nasional sehingga boleh menjejaskan sokongan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, keputusan tersebut bukan menghairankan kerana status quo boleh kekal, mengimbau kembali keputusan PRK yang dimenangi parti politik sedia ada sebelum ini.
“Saya melihat status quo-nya ke arah itu. Contohnya, mana-mana kawasan dimenangi Pakatan Harapan (PH) mereka boleh terus menang, begitu juga Perikatan Nasional (PN) dan buktinya seperti kita saksikan di Sungai Bakap. Jadi, tidak hairanlah.
“Memang benar undi majoriti juga besar, tetapi saya tidak nampak ia satu isyarat nasional kerana beberapa faktor seperti jumlah peratusan undi yang rendah,” katanya semalam.
Kelmarin, Hamzah dilaporkan berkata, keputusan PRK Sungai Bakap menjadi referendum jelas bahawa rakyat menolak kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran beberapa isu yang menyentuh kebajikan rakyat.
Katanya, keputusan PRK Sungai Bakap mencerminkan penolakan rakyat terhadap langkah kerajaan meneruskan urus niaga bersama BlackRock berhubung pembelian saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Pada PRK tersebut menyaksikan PN kekal menguasai kerusi apabila calonnya, Abidin Ismail, 56, menewaskan calon PH, Dr. Joohari Ariffin, 60, dengan majoriti 4,267 undi.
Dalam pada itu, kata Jamaie, kerajaan perlu melihat semula strategi untuk menang dalam pilihan raya dan langkah menawarkan subsidi bukanlah cara berkesan untuk menarik undi rakyat.
“Status quo akan terus berlaku. Jadi, apakah kerajaan mahu beri lagi bantuan yang berganda-ganda? Tiada kesan pun. Dalam PRN sebelum ini pun kerajaan naikkan subsidi padi daripada RM300 kepada RM500, namun apa yang berlaku? Tidak dijangka empat negeri kukuh kepada PN.
“Perlu semak, apakah selepas ini kerajaan perlu menambah lagi bantuan subsidi? Tetapi, nampaknya strategi tidak berjalan dan berkesan.
“Mungkin ada perkara yang dianggap tidak popular di kawasan tertentu, maka jangan lakukan. Ini tidak popular pada kerajaan kerana akan menjadi kritikan luar biasa,” katanya. – UTUSAN










