Saya rasa ibarat mati hidup semula- Black Hanafiah

Saya rasa ibarat mati hidup semula- Black Hanafiah

black
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Black Hanifah, bersyukur kini mampu kembali aktif menyanyi setelah diuji dengan kehilangan suara selama setahun yang turut menyebabkannya tidak boleh bercakap sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah berkata, sebelum ini, dia mengalami masalah polip di bahagian anak tekak dan terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan tersebut.

“Alhamdulillah, setelah menjalani pembedahan, saya kini sudah boleh bercakap dan menyanyi semula. Sebenarnya, ramai tak tahu saya sebelum ini tak boleh bercakap kerana masalah polip.

“Jalan terakhir adalah dengan menjalani pembedahan. Tetapi selepas buat rawatan, saya tak dibenarkan menyanyi dalam tempoh tiga bulan. Doktor maklum, masalah ini biasa dihadapi oleh mana-mana penyanyi yang bersuara tinggi, membawa genre rock.

“Masalah ini juga boleh dialami oleh golongan pendidik seperti pensyarah dan guru. Nak kata sakit, tak juga tetapi saya sukar untuk bercakap. Bila bercakap suara saya akan putus-putus dan langsung tak boleh menyanyi hingga menyebabkan diri  rasa ‘down’ dan sedih,”katanya.

Selain itu, Black mengakui, pernah menyangka dirinya terkena sihir ketika berdepan dengan masalah tersebut dan mendapatkan rawatan alternatif.

“Saya rasa ibarat mati hidup semula.Mulanya, saya ingat mungkin diri terkena sihir dan ada juga pergi mendapatkan rawatan tradisional tapi apabila diperiksa, mujur tak ada apa-apa.

“Bila berjumpa dengan guru vokal pula, mereka cadangkan agar saya dapatkan rawatan di hospital. Saya ingat ini angkara sihir sebab tak ada rasa sakit di tekak tetapi terganggu sebab tak boleh bercakap dengan baik dan tak boleh menyanyi langsung.

“Sebelum itu saya ada buat pemeriksaan biasa, tapi makin hari makin teruk. Rupanya cara saya makan salah, cara lontaran vokal pun salah dan selepas sedar ia bukan sihir saya berjumpa pakar,”katanya.

Tambah Black lagi, dia juga menyedari berdepan dengan masalah tersebut ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

“Saya ada gastrik dan gerd yang teruk sehingga ia membawa kepada masalah polip di tekak. Sebulan sebelum pembedahan, banyak tawaran untuk saya menyanyi secara langsung menyebabkan saya rasa sedih untuk katakan tak boleh kepada mereka.

‘’Jadi saya minta isteri beritahu mereka yang kita dah ada show, walhal tak ada show pun. Saya merahsiakan sebab tak mahu banyak pihak bimbang dengan keadaan saya dan risau mungkin akan timbul pelbagai spekulasi,”katanya.

Dalam pada itu, Black mengakui kini lega kerana dirinya semakin sembuh selain berterima kasih kepada semua pihak yang memahami keadaan kesihatannya terutama isteri dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×