KUALA LUMPUR: Perbincangan hal pegangan saham minoriti 30 peratus dalam Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB) yang dilakukan oleh wakil-wakil konsortium diterajui Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak melibatkan syarikat pelaburan antarabangsa, BlackRock Inc.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, kerajaan dimaklumkan oleh wakil daripada konsortium meskipun selepas Global Infrastructure Partners (GIP) diambil alih oleh BlackRock kelak, pengurusan GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab terhadap hala tuju strategik GIP serta syarikat-syarikat yang dilabur.
“Ini bermakna GIP akan terus beroperasi secara berasingan daripada BlackRock. Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) bersama GIP juga akan memiliki pegangan minoriti 30 peratus dalam MAHB,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Katanya, segala keputusan penting berkenaan MAHB hanya akan dilaksana berdasarkan persetujuan bersama ahli-ahli konsortium, justeru, urus niaga berkenaan tidak melibatkan BlackRock sama sekali.
“Konsortium tersebut menganggap penswastaan MAHB merupakan langkah terbaik kerana ia membolehkan sebarang keputusan dan pelaburan jangka panjang dibuat pada kadar lebih pantas,” katanya. – UTUSAN










