KUALA LUMPUR: Hampir empat daripada 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini berada di landasan tepat untuk mencapai tanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 menjelang umur 60 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kecukupan persaraan merupakan perkara yang amat penting dan sasaran kerajaan adalah untuk meningkatkan kadar berkenaan kepada enam daripada 10 ahli menjelang 2030.
“Walaupun ini menunjukkan satu kemajuan, masih ramai rakyat Malaysia berdepan risiko kehabisan simpanan lebih awal dalam tempoh persaraan yang dijangka berlarutan antara 20 hingga 25 tahun.
“Liputan perlindungan sosial turut menjadi cabaran kerana jutaan rakyat bekerja di luar sektor formal, sedangkan sistem perlindungan sedia ada direka berasaskan pekerjaan formal. Apabila corak pekerjaan berubah, sistem kita juga perlu berevolusi bersamanya,” katanya.
Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISCW2026) di sini hari ini.
Pada masa sama, Anwar berkata, perancangan persaraan perlu menangani realiti keupayaan kewangan isi rumah yang sering berdepan kekangan kos sara hidup harian seperti makanan, sewaan dan perbelanjaan sekolah.
“Sekuriti persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang adil serta keupayaan untuk menyimpan secara konsisten. Sebab itulah agenda gaji dan agenda persaraan mesti bergerak seiring.
“Kita perlu menaikkan paras minimum supaya setiap rakyat Malaysia dapat menua dengan bermaruah dan selamat, di samping memperluas peluang agar umur yang panjang kekal bermakna,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, peratusan ahli aktif sektor formal yang mencapai tanda aras Simpanan Asas mengikut umur meningkat daripada 36 peratus pada Jun 2025 kepada 39 peratus pada Jun 2026.
“Peningkatan tiga mata peratusan dalam tempoh setahun ini merupakan petanda kecil tetapi bermakna bahawa ahli mula memahami kepentingan kecukupan simpanan.
“Ia mengukuhkan keyakinan kami bahawa penetapan tanda aras yang jelas dan disampaikan secara konsisten mampu mengubah tingkah laku ahli dalam membuat perancangan kewangan,” katanya. – UTUSAN











