PETALING JAYA: Pemeriksaan keselamatan terhadap kru operasi pesawat dan kakitangan yang terlibat dengan jet peribadi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berkata, operasi jet peribadi dikendalikan oleh pengendali masing-masing dari hangar yang telah ditetapkan.
Menurutnya, pemeriksaan berkenaan dilaksanakan oleh anggota keselamatan terlatih selaras dengan Syarat Kemasukan (Conditions of Entry – COE) serta rangka kerja kawal selia yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Penumpang yang menggunakan jet peribadi pula dikehendaki menjalani pemeriksaan keselamatan oleh anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports di Skypark Business Aviation Centre (SBAC) yang terletak di dalam bangunan terminal.
“Bagi penerbangan komersial berjadual, pemeriksaan keselamatan penumpang dijalankan oleh anggota AVSEC di terminal utama lapangan terbang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
MAHB berkata, pihaknya memandang serius aspek keselamatan lapangan terbang dan sentiasa bekerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh langkah keselamatan dalam semua operasi.
“Kerjasama antara agensi berkenaan penting bagi memastikan keselamatan penumpang, kru serta kakitangan lapangan terbang terus berada pada tahap yang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN










