Caruman Akaun Persaraan KWSP naik kepada 75 peratus

PARLIMEN: Caruman Akaun Persaraan KWSP naik kepada 75 peratus

LIEW CHIN TONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akaun Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dinaikkan daripada 70 peratus kepada 75 peratus bagi membantu ahli mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif utama kerajaan dan KWSP dalam menangani cabaran kecukupan simpanan persaraan, khususnya ketika negara berdepan peningkatan kos sara hidup serta peralihan ke arah negara tua.

Beliau berkata, antara langkah tersebut adalah penstrukturan semula akaun KWSP daripada dua akaun kepada tiga akaun bagi mengimbangi keperluan simpanan jangka panjang dengan keperluan jangka pendek dan sederhana.

“Di bawah penstrukturan baharu itu, Akaun Persaraan diwujudkan khusus untuk simpanan hari tua dengan agihan caruman ditingkatkan daripada 70 peratus kepada 75 peratus.

“Akaun Sejahtera pula menerima agihan caruman sebanyak 15 peratus bagi tujuan pengeluaran bersyarat seperti pembelian rumah, pendidikan, kesihatan dan lain-lain tujuan yang dibenarkan.

“Selain itu, Akaun Fleksibel menerima agihan caruman sebanyak 10 peratus bagi memenuhi keperluan kewangan jangka pendek dan kecemasan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta kerajaan menyatakan langkah dan strategi bagi memastikan rakyat mempunyai simpanan serta pendapatan persaraan yang mencukupi, khususnya dalam kalangan ahli KWSP yang masih berdepan isu kecukupan simpanan.

Liew berkata, kerajaan dan KWSP kekal komited melaksanakan pelbagai langkah proaktif, strategik dan berterusan bagi memastikan lebih ramai ahli mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.

Katanya, usaha itu penting bagi menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup selain persediaan Malaysia menuju status negara tua menjelang 2048. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN