Subsidi diesel tidak ‘menggembirakan’ 150,000 pekebun kecil

Penyelarasan subsidi diesel tidak ‘menggembirakan’ 150,000 pekebun kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 150,000 pekebun kecil di luar bandar dan pedalaman tertekan apabila terdapat pemilik lori dan jentera pembersihan tanah menaikkan kadar upah perkhidmatan ekoran pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Pengerusi Biro Kebajikan, Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim, 59, berkata, bagi upah perkhidmatan mengangkut di kawasan luar bandar, pedalaman termasuk Felda, pemilik lori mengenakan kenaikan upah antara RM50 hingga RM70 satu tan berbanding sebelum ini RM30 hingga RM40 sahaja bergantung jarak perjalanan.

“Upah perkhidmatan sewa jengkaut dan jentera berat pembersihan tanah serta pembinaan juga meningkat RM650 sehari berbanding RM500 sebelum penghapusan subsidi diesel malah ada mencecah RM900 sehari bagi jentera berat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hal ini memberi kesan terhadap kewangan pekebun kecil sawit, getah yang mengusahakan tanaman kurang daripada dua hektar kerana pendapatan yang tidak seberapa sedangkan perlu membayar kadar upah perkhidmatan yang tinggi,” katanya di sini.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit petrol di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter, kenaikan sebanyak RM1.20 seliter.

Bagaimanapun, kadar itu boleh berubah setiap minggu mengikut harga semasa.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, koperasi di luar bandar dan Felda yang mempunyai lori juga menaikkan kadar upah sekali gus menimbulkan rungutan dalam kalangan ahlinya.

Katanya, petani luar bandar yang merupakan golongan B40 paling terkesan apabila pendapatan berkurangan akibat terpaksa dipotong upah perkhidmatan.

“Saya berpandangan kepada pengusaha dan pemilik lori berkenaan perlu ‘win-win situation’ bukan atas motif atau keperluan kenaikan harga diesel. Sekiranya ingin menaikkan kadar sewa perkhidmatan seelok-eloknya kurang daripada RM10 termasuk lori yang tidak berdaftar bagi meringankan beban pekebun kecil.

“Kerajaan juga diharap memberikan kelonggaran serta peluang kepada koperasi pekebun kecil getah, sawit termasuk padi di luar bandar dan pedalaman memohon kad subsidi diesel dalam kapasiti 10,000 hingga 30,000 liter (bergantung bilangan ahli) untuk perkhidmatan lori dan jengkaut milik koperasi termasuk dapat membantu lori yang tidak berdaftar supaya meringankan pengurusan dalam kalangan pekebun kecil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini