SEREMBAN: Penduduk di Taman Happy, Rasah dekat sini kecewa apabila masalah banjir kilat sering berulang di kawasan itu masih gagal diatasi sehingga kini.
Menurut mereka, setiap kali hujan lebat berlaku, kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran Sungai Linggi pasti dinaiki air termasuk kejadian terbaharu yang berlaku awal pagi tadi.
Lebih mengecewakan mereka, siren amaran banjir yang dipasang di kawasan itu juga tidak berfungsi yang mengakibatkan penduduk tidak dapat melakukan sebarang tindakan awal.
Seorang penduduk, S. Sunita, 49, berkata, dia mahu pihak berwajib mengambil tindakan serius dalam masalah dihadapi penduduk di situ.
Katanya, projek mendalamkan sungai dan mengorek pasir ada dilakukan namun dilihat tidak cukup bagi mengatasi isu banjir yang kerap kali berlaku.
“Tahun ini sudah tiga kali banjir kilat berlaku, kami tidak dapat berbuat apa-apa. Kami bukan mahu menyalahkan sesiapa cuma kejadian banjir ini kerap berlaku, sebelum ini berlaku pada bulan April, Mei dan terbaharu pagi tadi, kiranya setiap bulan berlaku.
“Itu yang kami bimbangkan, kerugian sudah pula sudah tidak terkira. Saya minta kerajaan beritahu apa langkah segera yang boleh dilakukan, sampai bila kami perlu hadapi masalah ini lagi,” katanya kepada pemberita.
Menurut R. Paruvathy, dia kecewa apabila siren amaran banjir di kawasan itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan penduduk.
“Kejadian banjir sebelum ini pun siren amaran tidak berbunyi, mujur kejadian pagi tadi berlaku ketika semua sudah bangun tidur, apa jadi jika kejadian banjir berlaku ketika penduduk masih lena tidur?
“Kami bimbang kerana kawasan yang mempunyai kira-kira 50 unit rumah ini kebanyakannya didiami oleh warga emas. Kami juga yang sudah berusia ini juga tidak larat untuk kerap membersihkan rumah setiap kali berlakunya banjir kilat,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Nordiana Muhamed Yussoff, 41, memberitahu, air mula naik kira-kira pukul 6 pagi selepas azan Subuh apabila hujan lebat berterusan.
“Hujan berlaku tidak lama namun air naik begitu cepat dan memasuki dalam rumah, mungkin kerana hujan lebat di hulu sungai. Saya hanya mahu masalah ini tidak berulang dan dapat diselesaikan segera,” katanya.-UTUSAN.










