PETALING JAYA: Makanan dalam tin berasaskan babi antara barangan yang dikenal pasti diseludup di Pelabuhan Klang, Selangor tanpa melalui pemeriksaan sehingga negara kerugian cukai RM3.5 bilion.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, makanan dalam tin berkenaan dikenal pasti hasil pemeriksaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 19 buah lori kontena yang disyaki membawa barangan lari cukai berkenaan dalam operasi di pelabuhan tersebut.
Kata sumber itu, makanan tin yang diragui status halal dan kebersihan itu diletak di dalam kotak yang diisytihar sebagai barangan perubatan bagi lari daripada dikenakan cukai.
“Kegiatan dilakukan sindiket ini bukan sahaja boleh merugikan negara kerana lari daripada cukai malah ancaman kesihatan ekoran penyeludupan yang dilakukan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, kata sumber itu, pemeriksaan lanjut masih dijalankan terhadap semua kontena yang terlibat bagi melibat barangan lain yang seludup.
“Pemeriksaan membabitkan semua kontena berkenaan memakan masa memandangkan pegawai siasatan boleh membuka dan memeriksa dua kontena dalam masa sehari,” jelasnya.
Semalam, risikan tiga agensi penguat kuasa membongkar sindiket lari cukai terbesar selama 10 tahun di Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan kerugian cukai RM3.5 bilion kepada negara.
Gabungan pasukan risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya membongkar kegiatan sindiket tersebut.
Dalam operasi khas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini, pasukan khas yang diketuai SPRM itu telah menahan sebanyak 19 buah lori kontena disyaki membawa barangan lari cukai dan pelbagai jenis barangan diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan.
Siasatan awal mendapati sindiket terbabit memiliki lebih 10 syarikat forwarding yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.
Katanya, hasil risikan yang dijalankan lebih dari tiga bulan mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan pelbagai syarikat forwarding didaftarkan atas nama individu yang langsung tidak mengetahui urusan tersebut.
Ia bertujuan mengaburi pihak berkuasa, selain membolehkan ahli sindiket terlepas daripada tindakan guna alasan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan.
Sindiket terlibat dipercayai didalangi seorang lelaki warga asing yang beribu pejabat di luar negara dan beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.
Malah, sindiket tersebut dianggarkan menguruskan lebih kurang 3,000 buah kontena sebulan.
Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun sindiket itu beroperasi dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion. Ia berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena.











