BOGOTA: Colombia semalam mengumumkan akan menggantung eksport arang batu ke Israel selagi Israel meneruskan perang ke atas Gaza.
“Kami akan menangguhkan eksport arang batu ke Israel sehingga pembunuhan beramai-ramai dihentikan,” kata Presiden Colombia, Gustavo Petro di X.
Mei lalu, Petro yang menyifatkan kempen Israel di Gaza sebagai genosid mengumumkan Colombia akan memutuskan hubungan dengan Israel dan membuka kedutaan di wilayah Palestin, Ramallah.
Beliau berkata, Colombia juga akan menghentikan pembelian senjata buatan Israel, salah satu pembekal utama kepada pasukan keselamatan negara Amerika Selatan itu.
Menurut kerajaan negara itu, larangan eksport arang batu akan berkuat kuasa lima hari selepas dekri diterbitkan dalam warta rasmi dan tidak menjejaskan barangan yang dibenarkan untuk penghantaran.
Antara Januari dan Ogos 2023, Colombia mengeksport AS$375 juta (RM1.7 bilion) barangan ke Israel dengan sebahagian besarnya adalah arang batu, kata kerajaan sambil menambah bahawa ia sumber strategik untuk pembuatan senjata dan operasi ketenteraan.
Serangan Israel di Gaza kini membunuh sekurang-kurangnya 36,801 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.- ARAB NEWS










