KUANTAN: Qari dari Negeri Sembilan, Mohammad Husaini Mahmur dan qariah Nor Hidayah Abd. Rahman dari Terengganu yang juga johan menunggu dinobatkan johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi.
Naib johan disandang qari dari Terengganu, Abdul Hadi Che Ab. Halim manakala bagi qariah pula, Nadhrah Ahmad Marzuki dari Negeri Sembilan.
Tempat ketiga pula disandang Mohamad Syaheed Sabri dari Pahang serta qariah Nor Jannah Ab. Rahman dari Terengganu.
Bagi kategori hafazan tahap satu hingga 30 juzuk beserta tafsir, juara bagi hafiz disandang Muhammad Rifae’i Mat Zuki dari Kedah manakala hafizah pula disandang Putri Aminah Mohd. Hanif dari Kelantan.
Bagi kategori hafazan tahap satu hingga 20 juzuk pula, juara bagi hafiz dimenangi Muhammad Asyraf Amir dari Johor sementara hafizah pula dimenangi Fatihatul Badriyah Mohd. Abd. Latif dari Selangor.
Bagi kategori hafazan tahap 1 hingga 10 juzuk beserta taranum bahagian hafiz, Abdullah Afif Mohd. Ariffin dari Melaka diumumkan sebagai pemenang manakala bagi hafizah dimenangi oleh Aisyah Nabihah dari Negeri Sembilan.
Keputusan yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datin Paduka Hakimah Mohd. Yusoff yang juga selaku Pengerusi Jemaah Hakim menobatkan Negeri Sembilan sebagai johon keseluruhan MTHQK tahun ini.
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah kepada semua pemenang yang berlangsung di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada 23 Jun lalu dan berlangsung enam hari dengan penyertaan 29 peserta tilawah termasuk seorang johan menungga qariah serta 81 peserta hafazan dari seluruh negara. – UTUSAN











