Bergelar juara bukan bererti sudah pandai

Bergelar juara bukan bererti sudah pandai

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (kanan) mengurniakan hadiah kemenangan yang diraih Muhammad Qayyim Nizar Sarimi selepas dinobat sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).  – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, berazam terus belajar walaupun sudah bergelar johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.

Qari berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan itu berkata, ilmu taranum sangat banyak untuk dipelajari.

“(Oleh itu) tidak semestinya kita johan peringkat antarabangsa, kita rasa pandai.

“Saya akan terus belajar dengan guru dan ajar pula kepada orang lain,” katanya selepas diumumkan sebagai juara kategori tilawah lelaki sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam kelmarin.

Qari berasal dari Kelantan itu menewaskan peserta lain selepas memperoleh markah sebanyak 94.96 peratus.

Sara Belmamoun dari Maghribi pula dinobatkan sebagai johan tilawah kategori qariah manakala Omar Toure dari Guinea dan Tebani Cheyma Enfal dari Algeria dinobatkan sebagai johan bagi kategori hafazan lelaki dan wanita.

Keempat-empat mereka membawa pulang hadiah emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai, piala iringan dan sijil.

Hadiah bagi kategori lelaki disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah manakala kategori perempuan dikurniakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.


MUHAMMAD Qayyim Nizar Sarimi dinobat sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M. – UTUSAN/AMIR KHALID

Sementara itu, Muhammad Qayyim berkata, beliau bersyukur kepada Allah atas kejayaan yang diterima itu.

“Saya tidak tahu macam mana mahu ucapkan, tidak boleh diucapkan dengan kata-kata, gembira ada, sebak pun ada,” katanya.

Dia menyifatkan pengorbanannya selama 16 tahun sejak mula mendalami ilmu taranum ketika berusia sembilan tahun sebagai satu usaha yang berbaloi selepas memperoleh kejayaan tersebut.

Muhammad Qayyim turut menitipkan pesan kepada golongan OKU penglihatan lain supaya mempelajari al-Quran.

“Dengan al-Quran ini cerah masa depan kita,” katanya.

Penganjuran MTHQA kali ini melibatkan seramai 76 peserta dari 52 buah negara yang terdiri daripada 36 peserta tilawah dari 27 buah negara dan 40 orang peserta dari 30 buah negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN